suria

45 Peratus Pegawai Syariah Dan Kakitangan Sokongannya Adalah Wanita

KUALA LUMPUR: Seramai 67 daripada 239 orang Pegawai Syariah yang dilantik sehingga kini adalah wanita, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mej Jen (B) Datuk Jamil Khir Baharom.

Beliau berkata bagi jumlah petugas kumpulan sokongan pula, 452 daripada 887 orang adalah wanita.

"Ini bermakna 45 peratus Pegawai Syariah dan kakitangan sokongannya adalah wanita," katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Zuraida Kamaruddin (PKR-Ampang) yang ingin tahu apakah langkah kementerian dalam memastikan berlakunya pengarus utama gender dalam pentadbiran dan sistem Mahkamah Syariah.

Jamil Khir berkata kerajaan sentiasa berusaha bagi memastikan berlakunya persamaan gender dalam pentadbiran Mahkamah Syariah.

Menjawab soalan Datuk Kamarul Baharin Abbas (PKR-Telok Kemang) mengenai kenaikan kos terhadap pembelian bangunan pejabat di Platinum Park di Kuala Lumpur yang dibangunkan oleh Naza TTDI Sdn Bhd, Jamil Khir berkata sebarang kenaikan kos tidak akan memberi kesan kepada Tabung Haji kerana harga jualan telah ditetapkan seperti di dalam perjanjian jual beli.

"Sebarang kenaikan kos itu akan ditanggung oleh pihak penjual. Di samping itu, Tabung Haji juga memantau perjalanan pembinaan secara terperinci melalui mesyuarat dan lawatan tapak secara berkala," katanya.

Mengenai jumlah bangunan yang telah dibeli di dalam dan luar negara, serta kos keseluruhan yang dibelanjakan Tabung Haji sejak lima tahun lepas, beliau berkata Tabung Haji setakat ini telah membeli lapan bangunan di dalam negara dengan jumlah pelaburan sebanyak RM670 juta.

"Manakala bagi bangunan di luar negara, Tabung Haji telah memajak bangunan pada tempoh jangka panjang di Arab Saudi iaitu Mekah dan Madinah. Jumlah indikatif pajakan bagi keduadua bangunan itu bernilai SAR659 juta (Saudi Riyal)," katanya.

Beliau berkata secara umumnya, pelaburan itu bermatlamat memberikan pulangan berteruskan kepada Tabung Haji melalui pendapatan sewaan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain