suria

Zul Nordin diarah keluar dewan hanya lapan minit

KUALA LUMPUR: Akibat ingkar arahan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia supaya duduk, anggota Parlimen Kulim-Bandar Baru, Zulkifli Nordin menjadi yang pertama 'dijatuhi' hukuman keluar dewan bagi sesi persidangan Parlimen kali ini.

Wakil rakyat PKR itu dikenakan tindakan selepas tidak mengendahkan permintaan Pandikar Amin supaya beliau berhenti mengemukakan soalan yang disifatkan terkeluar daripada tajuk penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2010 oleh Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohammed Khaled Nordin.

"Yang Berhormat duduk... duduk... apa Yang Berhormat kemukakan itu adalah isu baru. Sepatutnya dikemukakan ketika perbahasan, bukannya sekarang," katanya.

Zulkifli sebelum itu menggesa Mohammed Khaled menjelaskan mengapa Jabatan Penuntut Malaysia (MSD) di Mesir mengeluarkan surat untuk menghalang kira-kira 700 pelajar Universiti AlAzhar mengikuti pengajian kuliah hadis oleh Mufti Mesir Syeikh Dr Ali Jum'ah walaupun persiapan sudah dilakukan.

"Kita masih ada banyak kementerian yang akan menggulung perbahasan sedangkan masa hanya ada sehingga Khamis sahaja... kalau Yang Berhormat tidak duduk saya akan arahkan keluar dewan," tegas Pandikar Amin yang kemudiannya memuktamadkan keputusan itu setelah Zulkifli terus berdegil untuk mengemukakan soalannya.

Arahan itu menyebabkan petugas media menyerbu Zulkifli sebaik keluar daripada dewan persidangan, hanya kira-kira lapan minit sebelum Anggota Parlimen itu dipanggil oleh Bentara yang menyampaikan arahan Pandikar Amin supaya beliau kembali ke dewan.

Malah sebaik masuk, Zulkifli diberi peluang untuk mencelah perbahasan menteri, termasuk untuk bertanya soalan yang dibangkitkan sebelum itu.

Pandikar Amin berkata peluang itu diberikan kerana ia melibatkan kepentingan pelajar Malaysia di luar negara.

Tampil lebih tenang, Zulkifli memohon maaf atas sikapnya sebelum itu dan mengakui cara yang digunakan untuk mencelah sebelum itu agak kasar.

Beliau kemudiannya menjelaskan kepada menteri permintaan pelajar-pelajar berkenaan supaya mengarahkan pengarah MSD untuk menarik balik surat yang dikeluarkan bagi membolehkan kuliah itu diteruskan.

Untuk itu, Mohamed Khaled berjanji akan menyemak perkara itu dengan pengarah berkenaan dan akan memaklumkannya kepada Zulkifli. BERNAMA

Artikel Lain