suria

Manohara masih tidak jawab tuntutan saman suaminya dalam kes syariah

PUTRAJAYA: Isteri Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Sultan Ismail Petra sehingga kini masih tidak menfailkan pembelaan terhadap saman yang menuntutnya kembali taat kepada suaminya dan tuntutan hutang RM1,112,250 yang difailkan suaminya itu.

Peguam Syarie Zainul Rijal Abu Bakar yang mewakili Tengku Fakhry dalam dua kes saman syariah Tengku Fakry terhadap isterinya Manohara Odelia Pinot, ketika dihubungi berkata tempoh 14 hari yang diberikan Mahkamah Tinggi Syariah Kota Baharu, Kelantan, itu telah pun berakhir pada 21 Sept lepas.

Beliau berkata pada 2 Ogos lepas mahkamah itu mengarahkan Manohara memfailkan pembelaan dalam dua kes saman yang difailkan Tengku Fakhry terhadapnya, dalam masa 14 hari sebelum tarikh sebutan kes itu pada 5 Okt ini.

"Adalah dimaklumkan bahawa sehingga hari ini kami selaku Peguam Syarie Plaintif (Tengku Fakhry) belum lagi menerima pembelaan tersebut walaupun telah diarahkan Hakim agar disampaikan kepada kami dalam tempoh 14 hari dari tarikh 2 Ogos lepas. Kami juga tidak menerima sebarang permohonan lanjutan masa daripada peguam Syarie defendan (Manohara)," katanya.

Beliau berkata pihaknya juga telah menghantar faksimili kepada Peguam Syarie Manohara, Tetuan Faiz Adnan & Co memberitahu bahawa beliau belum lagi menerima sesalinan pembelaan untuk kedua-dua kes tersebut.

Pada 4 Julai lalu, Tengku Fakhry memfailkan dua saman di Mahkamah Tinggi Syariah Kota Baharu, iaitu menuntut agar isterinya itu yang telah kembali ke Indonesia pada 31 Mei lepas supaya kembali taat dan menyerahkan semula hutang sebelum dan selepas berkahwin sebanyak RM1,112,250.

Hutang itu termasuk pemberian jam jenama Audemars Piguet bernilai RM174,000 dan selebihnya adalah kiriman wang sebanyak enam kali bagi kegunaan defendan dan ibunya.

Pada 9 Sept lepas, firma guaman Tetuan Fakrul Hisham Abdullah & Associates yang dilantik Manohara dan ibunya Daisy Fajarina dalam kes saman fitnah RM105 juta yang dikemukakan Tengku Fakhry, telah menarik diri daripada menjadi peguamcara kepada mereka berdua.

Dalam kes sivil itu juga, Manohara dan Daisy masih tidak menfailkan pembelaan bagi menjawab pernyataan tuntutan Tengku Fakhry, walaupun tempoh untuk berbuat demikian telah tamat. BERNAMA

Artikel Lain