suria

Hari bersejarah bagi Idris Jala

DATUK Seri Idris Jala mengangkat sumpah sebagai anggota Dewan Negara pagi tadi.
DATUK Seri Idris Jala mengangkat sumpah sebagai anggota Dewan Negara pagi tadi.
DATUK Seri Idris Jala mengangkat sumpah sebagai anggota Dewan Negara pagi tadi.

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Idris Jala mengangkat sumpah sebagai senator hari ini dan akan melaksanakan tugas baru sebagai menteri tanpa portfolio di Jabatan Perdana Menteri dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Unit Penyampaian dan Pengurusan Prestasi (Pemandu) yang baru diwujudkan.

Idris, 51, mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Wong Foon Meng di sini.

Pelantikan Idris diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak minggu lepas.

Menyifatkan pelantikannya sebagai satu tugas khidmat negara, bekas CEO Malaysia Airlines itu berkata beliau berazam untuk melaksanakan tugas dengan tekun.

"Saya amat gembira berada di sini dan saya akan buat kerja saya dengan bertungkus lumus untuk kepentingan rakyat," katanya kepada pemberita selepas upacara itu.

Beliau turut menjelaskan, selaku CEO Pemandu, beliau akan melaporkan terus kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon. Oleh itu tidak berlaku pertindihan dalam melaksanakan tugas.

"Dalam hubungan ini, saya sebenarnya bukanlah menteri dalam kapasiti itu," katanya.

Beliau berkata, keutamaannya dalam Pemandu sekarang ialah untuk mendapatkan butiran terperinci berhubung kemajuan Indeks Prestasi Utama (KPI) sehingga kini dan akan merangka lebih banyak inisiatif untuk terus menggerakkannya dalam usaha mencapai objektif nasional.

Mengenai tugas sebagai menteri, Idris berkata beliau masih menunggu arahan daripada Perdana Menteri.

"Tanggungjawab itu akan diberikan kepada saya dari semasa ke semasa oleh Perdana Menteri," katanya.

Mengenai pengganti beliau dalam MAS, Tengku Datuk Azmil Zahruddin, Idris berkata, beliau berkeyakinan penuh terhadap Azmil untuk memacu syarikat penerbangan kebangsaan itu ke arah kejayaan yang lebih gemilang.

Sementara itu, Koh berkata pelantikan Idris merupakan kesinambungan dan lanjutan kepada pembabitan beliau dalam menubuhkan inisiatif KPI sejak April lepas.

Beliau berkata, Idris juga mempunyai rekod pencapaian yang baik dan berpengalaman luas semasa berkhidmat dengan MAS serta Shell.

"Pelantikan beliau akan membantu memperhebatkan lagi usaha yang telah kami lakukan selama ini dalam menyokong Perdana Menteri melakukan transformasi dalam kerajaan," katanya.

Turut mengangkat sumpah sebagai senator hari ini ialah Timbalan Setiausaha Perhubungan MCA Melaka Lee Cheam Choon.

Lee, 55, mengambil alih jawatan senator daripada Soon Tian Szu yang tamat penggal perkhidmatan awal tahun ini. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain