suria

Raja Arshad dilantik pengerusi, Rahman Ahmad sebagai CEO Ekuinas

KUALA LUMPUR: Bekas pengerusi eksekutif PriceWaterhouseCoopers, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda telah dilantik sebagai pengerusi Ekuiti Nasional Bhd (Ekuinas).

Abdul Rahman Ahmad yang akan melepaskan jawatan Pengarah Urusan Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Bhd pula, dilantik sebagai ketua pegawai eksekutif dan pengarah institusi pelaburan ekuiti swasta yang baru ditubuhkan itu.

Pelantikan mereka berkuatkuasa 1 September, kata kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri di sini hari ini.

Ekuinas ialah institusi pelaburan ekuiti swasta baru yang ditubuhkan bagi menggalakkan penyertaan Bumiputera yang lebih efektif, secara mapan dan mesra pasaran dalam bidang ekonomi.

Ahli Lembaga Pengarah Ekuinas yang lain ialah ketua pegawai eksekutif Symphony House Bhd dan bekas Pengarah Urusan Pengurusan Danaharta Nasional Bhd, Datuk Azman Yahya, Pengerusi dan ketua Pegawai Eksekutif Institut Strategik dan Kajian Antarabangsa (ISIS), Tan Sri Mohamed Jawhar Hassan dan ketua pengarah Unit Perancang Ekonomi, Datuk Noriyah Ahmad.

Penubuhan Ekuinas telah diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 30 Jun sebagai salah satu langkah untuk meningkatkan daya saing ekonomi negara dan pada masa yang sama mengekalkan komitmen kerajaan kepada usaha menggalakkan penyertaan Bumiputera secara mapan, berkesan dan bermakna melalui prinsip perkongsian tulen dan meritokrasi dalam bidang ekonomi.

Ia akan menguruskan dana permulaan sebanyak RM500 juta yang kemudiannya akan diperluaskan sehingga kepada RM10 bilion.

Ekuinas akan diuruskan secara komersil, di mana pelaburan akan ditumpukan kepada syarikat tempatan yang berdaya maju dan berpotensi tinggi dan akan memberi tumpuan kepada usaha menarik dan membangunkan modal insan berkeupayaan tinggi bagi pengurusan syarikat-syarikat berkenaan, katanya.

Ekuinas juga akan bekerjasama dengan firma ekuiti swasta dan mengguna pakai tatacara amalan terbaik firma ekuiti swasta bertaraf global.

Seperti mana Permodalan Nasional Bhd, Ekuinas akan ditubuhkan di bawah sebuah badan amanah iaitu Yayasan Ekuiti Nasional.

Badan amanah ini akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri dan pemegang amanah yang lain termasuk Timbalan Perdana Menteri, menterimenteri kanan dan pegawai kerajaan.

Kenyataan itu menyebut Najib sebagai berkata: "Ekuinas akan diterajui oleh para profesional yang berkeupayaan dan berpengalaman tinggi dengan reputasi integriti yang baik. Dengan ini, saya yakin Ekuinas akan dibangunkan dan mencapai objektif yang ditetapkan dengan jayanya.

Buat masa ini, Lembaga Pengarah Ekuinas sedang memuktamadkan struktur pelaburan dan operasi dengan hasrat mengumumkan rangka awal Ekuinas pada akhir Ogos 2009, kata kenyataan itu. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain