suria

Najib mahu Umno lakukan pemulihan segera sebelum PRU ke-13

KOTA BAHARU: Datuk Seri Najib Tun Razak mahu pemulihan dalaman Umno dilakukan segera untuk mendapatkan keyakinan rakyat bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang. Perdana Menteri dan Presiden Umno berkata kesungguhan ke arah pemulihan itu perlu dilakukan mulai sekarang kerana hanya tinggal dua tahun lebih sahaja sebelum pilihan raya umum ke-13 diadakan.

Beliau memberi contoh beberapa isu perpaduan dalam Umno yang masih perlu diperbaiki seperti yang berlaku di Kelantan termasuk perebutan kuasa, ingin menjadi calon, berpuak-puak dan perancangan teliti untuk menghadapi pilihan raya.

"Kita mahu rampas balik bumi Kelantan. Tapi kadangkadang bila sebut nak menang tindakan dan perbuatan itu menempah kekalahan. "Apabila memilih calon. Ada yang kata bila kata maruah parti dia kata maruah ambo (saya)," katanya semasa berucap merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Kota Baharu di sini hari ini.

Najib berkata sikap tikam belakang atau cah keting perlu dibuang daripada pemimpin dan anggota Umno, termasuk tindakan membatalkan mesyuarat cawangan oleh bahagian hanya kerana cawangan itu tidak memilih calon yang dikehendaki.

Perkara itu menjejaskan perpaduan dalaman parti, kata Perdana Menteri.

Selain itu, antara perkara lain yang menjejaskan perpaduan parti termasuk anggota parti yang membantah kerana calon pilihan raya terpilih tidak menepati kehendak kumpulan tertentu sehingga ada anggota Umno tidak keluar mengundi calon Umno seperti ketika pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri kawasan Manek Urai.

"Di Manek Urai, ada orang Umno tidak keluar mengundi. Kalau semua orang Umno yang ada di Manek Urai itu keluar kita tentu boleh menang. Saya boleh sebut nama-nama yang tak pergi mengundi," katanya.

Beliau berkata hakikatnya keyakinan rakyat terhadap Umno semakin baik dan ini dapat dilihat dalam pilihan raya DUN Manek Urai 14 Julai lepas apabila jumlah sokongan orang Melayu kepada Umno meningkat sehingga menyebabkan PAS hanya menang majoriti 65 undi berbanding pada pilihan raya umum 2008 apabila parti itu memperoleh 1,365 majoriti.

Najib turut mengingatkan pemimpin dan anggota Umno supaya turun padang bagi mendekati rakyat dan melaksanakan program parti yang memberikan kesan kepada mereka.

Malahan beliau mahu segala janji yang dibuat oleh pemimpin perlu ditunaikan kerana rakyat memandang serius terhadap kredibiliti parti jika pemimpin parti menunaikan janji kepada mereka.

Selain itu, katanya perancangan pemulihan Umno secara dalaman juga perlu dibuat secara teliti meliputi semua aspek dan mengikut kesesuaian tempat.

"Bila parti memahami denyutan nadi rakyat parti menjadi kuat. Bila parti menjadi aspirasi rakyat, parti dapat bentuk dasar dan program yang sesuai untuk rakyat.

"Rakyat akan senang hati dengan parti dan bila rakyat senang hati, maka bangkitlah gelombang rakyat menyokong parti," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain