suria

Polis Marin tahan 10 bot tangkap udang luar kawasan

TAWAU: Pasukan Gerakan Marin (PGM) Tawau menahan 10 buah bot pukat tunda di muara Sungai Barantian semalam kerana disyaki menjalankan aktiviti menangkap udang di luar kawasan yang dibenarkan.

Ketua PGM Tawau DSP Husaini Zainal Abidin berkata bot beserta kira-kira 40 orang awak-awak berkenaan ditahan kira-kira pukul 11 pagi.

"Mereka menangkap ikan di kawasan yang dikhaskan untuk nelayan tradisi iaitu kurang dua batu nautika dari kawasan pantai. Kegiatan mereka ini boleh menjejaskan ekosistem kawasan berkenaan.

"Kita perlu ingat kawasan hutan bakau merupakan tempat pembiakan pelbagai spesis hidupan marin dan kegiatan pukat tunda berkenaan akan menjejaskan pendapatan nelayan kecil," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Husaini berkata kesemua bot berkenaan adalah milik rakyat tempatan namun ada antara awak-awaknya yang berumur antara 20 hingga 40 tahun di bot-bot berkenaan adalah rakyat asing dan diambil bekerja secara sah.

Husaini berkata, ada antara bot pukat tunda berkenaan sudah melakukan kesalahan serupa antara tiga hingga empat kali namun masih melakukannya.

Di bawah Akta Perikanan 1967 pihak berkuasa boleh menyita bot dan menarik lesen operasi bot berkenaan jika melakukan kesalahan sehingga empat kali.

Katanya, kesemua bot pukat tunda berkenaan dan awak-awak mereka akan diserah kepada Jabatan Perikanan untuk tindakan lanjut.

Sepanjang tahun lalu PGM Tawau merekodkan 10 kes di bawah Akta Perikanan dan meningkat kepada 37 kes sehingga Julai tahun ini.

Dalam perkembangan lain PGM Tawau juga berjaya merampas pelbagai jenis barangan pengguna termasuk gula pasir dan minyak masak bernilai RM16,000 yang cuba diseludup keluar dari negara ini menggunakan bot penumpang ekspres dan bot jongkong semalam.

Husaini berkata barangan berkenaan dirampas dalam aktiviti rondaan Ops Octopus dan Ops Tayang di kawasan perairan Kampung Titingan dan Sabindo petang semalam.

Dua suspek termasuk seorang wanita berumur antara 16 hingga 50 tahun turut ditahan untuk membantu siasatan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain