suria

Polis Terengganu gempur 'makmal dadah' di kebun pisang

KUALA TERENGGANU: Polis menahan seorang usahawan tani yang cuba mencipta sejenis dadah baru dengan menggunakan campuran dadah jenis ketamin dan pil kuda dalam satu serbuan di 'makmal dadah' di sebuah kebun pisang di Kampung Gemuruh, Tepoh di sini malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Terengganu Supt Roslan Abdul Wahid berkata dalam serbuan kira-kira pukul 11.30 malam itu, polis menahan usahawan berusia 35 tahun itu bersama tujuh pekerjanya yang berusia 26 hingga 39 tahun selain merampas dadah jenis ketamin dan pil kuda yang dianggar bernilai RM20,000 serta selaras senapang angin bersama 85 peluru bebola besi.

Beliau berkata penemuan makmal dadah yang berbentuk makmal dapur dalam kabinet kayu di sebuah pondok rehat dalam kebun pisang seluas 13 hektar itu sendiri mengejutkan pihak polis dan ia merupakan yang pertama di negeri ini.

"Hasil risikan dan maklumat orang awam, sepasukan anggota dan pegawai daripada JSJN telah menggempur pondok rehat itu yang dijadikan sebagai pusat pengedaran dadah untuk kawasan Tepoh, Batu 6 dan Hulu Terengganu.

Ketika ditahan usahawan tani yang berjaya itu sedang khayal akibat pengambilan dadah dan hasil pemeriksaan dalam pondok itu, polis menemui dadah jenis Ketamin seberat 125 gram dan 450 pil kuda," katanya dalam sidang media di pejabatnya di sini hari ini.

Beliau berkata hasil penggeledahan lanjut dalam sebuah bilik tidur di pondok itu, polis menemui peralatanperalatan yang dipercayai digunakan untuk memproses dadah tersembunyi dalam satu ruang di sebuah kabinet kayu.

Setelah disoal siasat, usahawan itu yang keluarganya turut mempunyai perniagaan sebuah stesen minyak dekat sini mengakui sedang mencuba untuk mencipta dadah jenis baru yang lebih berkesan dengan menggunakan ketamin yang dicampur dengan pil kuda bersama tepung pulut, tepung ubi, gula dan bahan pewarna.

"Bagaimanapun, kita masih menyiasat sama ada dia telah berjaya menghasil dan memasarkan dadah tersebut. Campuran dadah baru itu telah dihantar ke Pejabat Kimia untuk siasatan lanjut," katanya.

Katanya siasatan mendapati, usahawan dari Kampung Bukit Jong, Tepoh itu mendapat bekalan dadah dari negara jiran setiap kali pulang menemui anak dan isterinya yang berada di Tanah Merah, Kelantan sebelum membawanya pulang ke sini.

Dia yang dipercayai telah tiga tahun terlibat aktif dalam aktiviti pengedaran dadah itu dipercayai menggunakan hasil wang haram itu untuk membiayai perniagaannya dalam bidang pertanian bagi mengaburi mata orang ramai dan pihak berkuasa.

Menurut Roslan, ketujuh-tujuh lelaki itu yang berasal dari Terengganu dan Kelantan ditahan di sekitar kebun pisang tersebut dengan enam daripadanya berada dalam keadaan khayal ketika tangkapan dilakukan.

"Siasatan awal mendapati, selain bekerja di kebun pisang usawahan itu, ketujuhtujuh lelaki itu juga bekerja sebagai pengedar dadah secara kecilkecilan dan selain mendapat upah wang, mereka juga mendapat upah dadah daripada usahawan itu," katanya.

Kesemua mereka kini ditahan reman sehingga 18 Mei ini bagi membantu siasatan. Siasatan terhadap usahawan itu dilakukan mengikut Sekyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Senjata Api, manakala untuk ketujuh-tujuh pekerja usahawan itu siasatan dijalankan mengikut Sesyen 12 (2) dan Seksyen 15 (1) (a) akta yang sama.

Dalam serbuan berasingan malam tadi, polis menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah jenis ganja di daerah Dungun yang didalangi oleh seorang lelaki yang bekerja sebagai pemandu kren.

Lelaki tempatan yang berumur 28 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Jalan Nibong Stesen Kampung Padang Jambu, Dungun kirakira pukul 10 malam tadi hasil operasi sepadu yang melibatkan agggota dan pegawai daripada JSJN dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Dungun.

Dalam serbuan itu, Roslan berkata polis menemui dua ketulan yang bahan tumbuhan kuning dibalut dengan kertas timah yang dipercayai ganja seberat 51 gram.

"Hasil soal siasat dia mengakui ada menyimpan dadah lebih banyak di rumah sewanya di Taman Rakyat dan telah membawa polis ke sebuah rumah yang terletak kirakira empat hingga lima kilometer dari tempat tangkapan pertama," katanya.

Beliau berkata hasil pemeriksaan polis menemui empat lagi ketulan ganja mampat dan satu ketulan besar serta tiga ketulan kecil dibalut kertas timah yang kesemuanya dianggar seberat 4.28 kilogram dengan anggaran harga RM50,000.

Kesemua barangan itu kemudian dirampas dan sebuah motosikal turut disita untuk diambil tindakan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Perlucutan Harta) 1988 Akta 340.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39 A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan 39B akta yang sama. Lelaki itu direman sehingga 18 Mei ini. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain