suria

Empat lelaki dipercayai terbabit kes curi kereta ditahan

KULIM: Polis menahan empat lelaki yang disyaki terbabit dengan kegiatan curi kereta di Pulau Pinang dan Kedah, dalam beberapa serbuan di sekitar Kulim minggu lepas.

Ketua Polis Daerah Supt Ghuzlan Salleh berkata lelaki berumur antara 21 dan 41 tahun itu ditahan oleh sepasukan anggota polis yang diketuai Insp Anuar Mohd Noor, yang membuat intipan terhadap kegiatan mereka sejak bulan lepas.

"Polis menahan keempat-empat mereka di beberapa buah lokasi di daerah Kulim, dan hasil siasatan, polis kemudiannya menemui semula lapan buah kereta yang dilaporkan hilang di Pulau Pinang dan kawasan daerah Kulim," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya kereta-kereta yang ditemui semula itu didapati diubah suai pada bahagian chasis dan alat gantinya bagi tujuan membolehkan ia dijual semula sebagai kereta terpakai.

Beliau berkata selepas disoal siasat polis menemui dua bengkel yang dipercayai menjadi tempat meleraikan komponen kereta di sini serta di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, dan menurutnya keempatempat lelaki itu dipercayai bergerak aktif dalam kegiatan curi kenderaan sejak enam bulan lepas.

Ghuzlan berkata keempatempat lelaki yang berasal dari Kulim dan Pulau Pinang itu kini ditahan reman dan kes sedang disiasat mengikut Seksyen 379(A) Akta Kanun Keseksaan Seksyen.

Sementara itu dalam satu serbuan di Taman Kemuning di sini Khamis lepas dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, ibu pejabat Polis Bukit Aman, polis berjaya menumpaskan satu kegiatan pengedaran VCD dan DVD cetak rompak di sini.

"Polis menahan lapan orang termasuk seorang wanita berumur lingkungan 20an yang dipercayai sedang bekerja di premis berkenaan dalam serbuan itu," kata Ghuzlan.

Beliau berkata polis merampas komputer, peralatan pembuatan salinan pendua, dua pencetak berwarna untuk membuat kulit VCD dan DVD bersama 6,800 keping VCD dan DVD cetak rompak lucah dipercayai bernilai RM50,000.

Ghuzlan berkata enam daripada tujuh lelaki yang ditahan itu kemudiannya dibebaskan selepas disoal siasat, manakala seorang lelaki berusia 29 tahun dan teman wanitanya berusia 24 tahun ditahan untuk siasatan lanjut.

Katanya mereka akan disiasat di bawah Seksyen 5(2) Akta Penapis Filem, Seksyen 41(1)(g) Akta Hakcipta 1987 dan Seksyen 6(2) Akta Penapis Filem 2002. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain