suria

Istilah politik imbuhan, lelong jawatan warnai ucapan Rafidah

KUALA LUMPUR: Sambil menegaskan bukan Umno yang perlu berubah, sebaliknya "ahli-ahli yang perlu membuat perubahan kepada diri mereka", Ketuanya, Tan Sri Rafidah Aziz menggunakan beberapa istilah baru bagi menggambarkan betapa seriusnya budaya mengejar jawatan parti.

Dalam ucapannya kira-kira setengah jam, Rafidah mengetengahkan istilah "politik imbuhan", "lelong jawatan" dan "politik upahan" serta "tender".

Sehubungan itu, bekas anggota Kabinet ini menjelaskan, langkah menukar jenama, label atau peragaan sahaja tidak memadai dalam Umno.

Sebaliknya, kata beliau, ahli-ahli perlu melihat kelemahan diri dan memperbaikinya demi memantapkan parti.

"Ramai yang telah melaung-laungkan tentang perlunya Umno berubah jika hendak dianggap relevan dan diterima oleh rakyat terutama oleh generasi muda.

"Sebenarnya bukan Umno yang patut berubah. Tidak ada cacat celanya pada parti yang telah menjadi payung dan penaung kepada orang Melayu selama lebih 62 tahun.

"Yang patut berubah dan yang patut menjalani proses perubahan adalah setiap daripada kita, ahli-ahli Umno," kata beliau dalam ucapan dasar Perhimpunan Agung Wanita Umno hari ini.

Rafidah yang dicabar Naibnya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil turut memberi peringatan sejarah Umno yang sebelum ini pernah diharamkan akibat perebutan jawatan dalam parti itu pada 1987.

"Nafsu gelojoh mengejar jawatan dan merebut kuasa telah membiakkan budaya baru iaitu budaya politik upahan dan imbuhan.

"Jawatan dalam Umno sudah menjadi seolah-olah tawaran tender dengan yang membuat tawaran tertinggi diberi pertimbangan.

"Bahkan lebih tepat lagi kalau dikatakan sudah mula pendekatan 'lelong jawatan' dengan kemungkinan mereka juga sanggup memberi lebih untuk diundi bagi sesuatu jawatan," katanya.

Kata Rafidah, ini adalah masa setiap ahli Wanita memikirkan dengan serius hala tuju yang mahu dibawa Umno.

"Wanita tidak perlu melaungkan sesuatu . Kita adalah ahli parti dan tuntutan-tuntutan bersifat wajar dalam perbincangan parti.

"Biarlah pertubuhan bukan kerajaan melaung-laungkan dan mendesak. Biarlah pembangkang melaung dan menjerit," katanya.

Artikel Berikut

Artikel Lain