suria

Tiga lelaki didakwa bunuh pekerja sambilan stesen minyak

IPOH: Tiga lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini terhadap pertuduhan membunuh seorang pekerja sambilan stesen minyak di sini pada bulan lepas.

K. Nanda Kumar, 22, dari Kampung Baru, Jelapang; M. Tayalan, 32, dari Kampung Razak, Jalan Kuala Kangsar dan N. Ganeson, 22, dari Rumah Murah, Jelapang dituduh membunuh Mohd Khairudin Mohd Isa, di Lot 191515, Stesen Minyak Petronas Gunung Lang di sini pada 6.58 pagi, 11 November lepas.

Tiada pengakuan dicatatkan daripada kesemua tertuduh.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Mohd Khairudin, 42, yang bekerja sambilan di stesen minyak itu merupakan pegawai Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) dan pelajar tahun satu program Ijazah Sarjana Muda Syariah Usuluddin, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Majistret Mohamed Ruhizat Abdullah menetapkan 13 Jan ini untuk sebutan semula kes.

Ganeson diwakili peguam T. Shan, Tayalan diwakili peguam Ranjit Singh manakala Nanda Kumar tidak diwakili peguam. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain