suria

Banjir: 30 pesawah Kampung Nara rugi lebih RM100,000

[DIKEMAS KINI] PASIR PUTEH: Seramai 30 pesawah di Kampung Nara di sini mengalami kerugian lebih RM100,000 apabila tanaman padi mereka yang sedang masak musnah ditenggelami air akibat banjir sejak tiga hari lepas.

Menurut mereka, padi yang akan dituai pada bila-bila masa itu, musnah sama sekali ditenggelami air sedalam satu meter.

Jurucakap mereka, Mat Lazim Said, 41, berkata masalah itu timbul apabila banjir dari kampung sekitar tidak dapat mengalir ke Sungai Semerak yang terletak di kawasan berhampiran.

Beliau berkata kawasan berkenaan merupakan bendang yang subur.

Setiausaha Projek Pemulihan Tanah Terbiar Kampung Nara, Mohd Ari Ali merayu kerajaan negeri dan kerajaan pusat supaya mengeluar bantuan segera memandangkan petani-petani yang mengerjakan sawah di kawasan itu hanya bergantung kepada hasil tanaman itu.

Beliau kecewa kerana tiada wakil agensi kerajaan yang datang meninjau keadaan di situ.

Dalam pada itu, di KUALA TERENGGANU melaporkan Yang diPertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah hari ini melawat mangsa banjir di pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan Kompleks Gong Badak dekat sini.

Seri Paduka Baginda berdua meluangkan masa satu jam untuk bertemu 857 mangsa daripada 170 keluarga yang ditempatkan di sekolah itu sejak dua hari lepas.

Tuanku Mizan turut menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir yang sebahagian besarnya terdiri daripada penduduk Taman Perumahan Kampung Pusu, Gong Badak.

Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said dan pegawai-pegawai kanan kerajaan negeri turut hadir.

Sebelum melawat pusat pemindahan tersebut, Seri Paduka Baginda diberi taklimat oleh Setiausaha Kerajaan Terengganu Datuk Mokhtar Nong mengenai keadaan banjir di negeri itu.

Penduduk taman perumahan berkenaan ditempatkan di pusat pemindahan itu sejak dua hari lepas setelah rumah mereka ditenggelami air setinggi antara satu dan dua meter ekoran hujan lebat sejak dua hari lepas.

Seorang mangsa banjir, Nazmi Ghazali, 43, berkata beliau kerugian kira-kira RM30,000 apabila banyak harta bendanya gagal diselamatkan setelah rumahnya ditenggelami air.

"Saya tidak dapat berbuat apa-apa kerana air naik terlalu cepat kira-kira pukul 2 pagi," katanya.

Seorang lagi mangsa, Zahamdi Hassan, 46, pula melahirkan rasa kecewa kerana keadaan banjir yang melanda kawasan perumahannya disebabkan sistem perparitan yang kurang sistematik.

"Satu sistem perparitan yang lengkap perlu segera dibina bagi mengelak keadaan banjir berulang," katanya. BERNAMA

BERITA TERDAHULU

KUALA TERENGGANU: Besut dan Setiu pulih daripada banjir pagi ini tetapi keadaan di Kuala Terengganu dan Marang masih lagi buruk.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negeri berkata bahawa di Besut, kumpulan terakhir seramai 33 orang yang berada di pusat pemindahan mangsa banjir, telah dibenarkan pulang pukul 8.15 pagi ini manakala di Setiu, kumpulan terakhir 150 orang dibenarkan pulang pukul 8 pagi tadi.

"Bagaimanapun daerah Kuala Terengganu dan Marang masih lagi teruk mengalami banjir," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Jurucakap itu berkata jumlah keseluruhan mangsa banjir di Kuala Terengganu dan Marang sehingga pukul 7 pagi ini adalah 2,730 orang iaitu 1,774 di Kuala Terengganu dan 956 di Marang.

Jumlah di kedua-dua daerah itu berkurangan berbanding 2,677 petang semalam.

Jurucakap itu berkata 13 jalan utama di Terengganu masih ditutup kepada semua kenderaan kerana dinaiki air sedalam antara 0.3 meter dan satu meter.

Jalan-jalan itu ialah Jalan Bukit Payong-Titian Baru, Jalan Padang Midin-Jalan Paya Resak, Jalan Bukit Sawa-Pengkalan Kuin, Jalan Teratak Baru-Sungai Serai, Jalan Matang-Kampung Telemong, Jalan Bukit Perah-Kampung Jak, Jalan Pengkalan Buku-Kampung Tembila (Jambatan Tembila runtuh), Jalan Permaisuri-Hulu Seladang, Jalan Kuala Terengganu-Kota Baharu (Pakoh Jaya km29), Jalan Sungai Lekor-Pakoh Jaya (km31), Jalan Kampung Sungai Ikan (km27.1), Jalan Kampung Jeram-Pulau Bahagian dan Jalan Kampung Jeram-Pulau Bahjagia (Kampung Bukit Petiti). Jalan Bukit Payong ke Simpang Undang di km 9 hingga ke 10) dibuka satu lorong.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri melaporkan semua sungai utama di Terengganu berada dalam keadaan normal, kecuali Sungai Setiu di Kampung Bukit dan Jambatan Permaisuri, masing masing di tahap bahaya dan tahap amaran.

Jurucakap JPS berkata kedudukan terkini paras air sungai di Kampung Bukit melepasi paras bahaya iaitu 13.11 meter (bahaya 12 meter) dan di Jambatan Permaisuri di tahap amaran 8 meter (amaran 8.50 meter).

Sementara itu, di KOTA BHARU, keadaan banjir di Kelantan semakin pulih walaupun bilangan mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan meningkatkan kepada 1,747 pagi daripada 1,623 semalam.

Jurucakap Pusat Kawalan Operasi Bencana Banjir Kelantan berkata walaupun jumlah itu meningkat bertambah, pusat pemindahan di Tanah Merah dan Kuala Krai telah ditutup sepenuhnya mulai pagi ini.

"Hanya kawasan berdekatan di Sungai Golok di Rantau Panjang yang masih mempunyai jumlah mangsa banjir yang tinggi kerana paras sungai kekal di atas paras bahaya iaitu 10 meter," katanya ketika dihubungi di sini.

Sehingga 10.30 pagi ini, seramai 1,077 mangsa masih berada di pusat pemindahan Pasir Mas, 646 di Tumpat dan 24 di Kota Baharu.

Di Pasir Mas, jalan-jalan yang ditutup kepada semua kenderaan ialah Jalan Banggol Kulim di km 23, Jalan Panglima, Jalan Pengkalan Rakit, Jalan Pasir-Mas Golok dan Jalan Rantau Panjang-Panglima Bayu di km 26, manakala jalan yang ditutup kepada kenderaan ringan adalah Jalan Pohon Tanjung-Meranti di km 10 dan Jalan Rantau Panjang-Panglima Bayu di Kampung Kajang dan Kampung Rahmat.

Di Tumpat, Jalan Kampung Jambu di km 6.5 ditutup kepada semua kenderaan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain