suria

Ketua Polis Thailand ditukar, petanda ketegangan memuncak

Pemprotes anti-kerajaan meletakkan penghadang di hadapan lapangan terbang Don Mueang di Bangkok
Pemprotes anti-kerajaan meletakkan penghadang di hadapan lapangan terbang Don Mueang di Bangkok
Pemprotes anti-kerajaan meletakkan penghadang di hadapan lapangan terbang Don Mueang di Bangkok

BANGKOK: Kerajaan Thailand telah menukar Ketua Polis Negara Phatcharawat Wongsuwan kepada jawatan tidak aktif sekaligus menandakan ketegangan yang semakin memuncak antara kerajaan dan pasukan keselamatan.

Dia akan digantikan oleh Polis Jeneral Prateep Tanprasert yang diberi tanggungjawab mengalihkan ribuan penunjuk perasaan antikerajaan yang menduduki lapangan terbang Suvarnabhumi dan Don Muang sejak Isnin lalu.

Semalam, Perdana Menteri Somchai Wongsawat telah mengisytiharkan perintah daurat di kawasan sekitar kedua-dua lapangan terbang terbabit tetapi perintah itu tidak dapat dikuatkuasakan tanpa kerjasama polis dan tentera.

Somchai masih berada di bandar raya utara Chiang Mai sejak kembali dari mesyuarat Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) di Lima, Peru, dua hari lepas, dengan spekulasi bahawa pihak tentera bercadang merampas kuasa.

Di Lapangan Terbangan Utapao, dekat Pattaya, kirakira 140km dari sini, wujud keadaan kelam kabut selepas ratusan penumpang yang terkandas tiba.

Jabatan Penerbangan Awam Thailand telah membenarkan penggunaan lapangan terbang tersebut milik Tentera Laut Diraja Thailand tetapi menghadkan jumlah penerbangan kerana kekurangan kemudahan.

Penumpang terpaksa mengambil masa hampir tiga jam perjalanan dari Bangkok ke Lapangan Terbang Utapo dan dua jam lagi untuk proses mendaftar masuk dengan hanya sebilangan kecil kakitangan mengendalikan proses penerbangan.

Antara syarikat penerbangan yang melakukan pendaratan hari ini ialah Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) dari Kuala Lumpur, Eva Air dari Taiwan.

Esok, MAS akan mengadakan dua penerbangan ke Utapo ketika syarikat penerbangan asing cuba mendapatkan hak terhad untuk mendarat dan berlepas bagi membawa ribuan penumpang asing yang terkandas. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain