suria

Serangan di Mumbai Lebih 100 terbunuh tebusan di Hotel Taj Mahal diselamatkan

Anggota polis melihat Hotel Taj Mahal yang diserang oleh pengganas - foto BLOOMBERG NEWS
Anggota polis melihat Hotel Taj Mahal yang diserang oleh pengganas - foto BLOOMBERG NEWS
Anggota polis melihat Hotel Taj Mahal yang diserang oleh pengganas - foto BLOOMBERG NEWS

[DIKEMAS KINI] MUMBAI: Komando India berjaya membebaskan tebusan-tebusan di Hotel Taj Mahal hari ini, tetapi pertempuran masih berlaku dengan kumpulan militan Islam bersenjata yang setakat ini telah membunuh lebih 100 orang.

Kumpulan pengganas itu dilaporkan tiba di Mumbai dengan bot semalam, sebelum menyerang hotel-hotel mewah, sebuah restoran popular, hospital dan stesen keretapi.

Tujuh belas jam selepas serangan tersebut, tentera dan kumpulan militan masih lagi meneruskan pertempuran dimana lebih 100 orang terperangkap di dalam bilik-bilik hotel terbabit.

"Mereka yang ditahan di sana telah pun berjaya diselamatkan. Tetapi masih ramai lagi yang berada di dalam bilik-bilik hotel itu...kita tidak tahu berapa ramai," kata Ketua Polis Maharashtra, A.N.Roy kepada saluran berita NDTV.

Kata Roy, walaubagaimanapun tebusan di Hotel Trident/Oberoi masih lagi belum dapat diselamatkan.

"Sebab itu kita perlu melakukan operasi ini dengan berhati-hati supaya tiada nyawa yang terkorban," katanya.

Polis berkata, sekurang-kurangnya enam warga asing terbunuh dan 287 orang lagi cedera di dalam serangan yang didakwa dilakukan oleh kumpulan yang menggelarkan diri mereka Deccan Mujahideen.

"Bebaskan semua mujahideen, dan semua Muslim di India tidak akan berhadapan masalah," kata seorang ahli militan di dalam Hotel Oberoi yang bercakap dengan sebuah televisyen India menerusi telefon.

Lelaki yang mengenalkan dirinya sebagai Sahadullah berkata, dia adalah salah seorang daripada tujuh penyerang di hotel tersebut dan mahu agar militan Islam dibebaskan dari penjara India.

Ledakan kemudiannya didengar di hotel tersebut, kata saksi.

Dua orang pengunjung hotel tersebut yang terperangkap di dalam hotel masing-masing turut menghubungi beberapa stesen televisyen. Seorang daripadanya berkata pintu kecemasan terkunci dan seorang lagi berkata dia melihat dua mayat di tepi kolam hotel terbabit.

Menurut saksi, penyerang berkemungkinan mensasarkan kepada warga Britain dan Amerika di hotel dan restoran terbabit.

Alex Chamberlain, warga Britain yang sedang menjamu selera di Oberoi ketika kejadian memberitahu saluran berita Sky News bahawa kumpulan bersenjatan itu telah membawa 30 hingga 40 orang yang berada di resotran itu ke tingkat atas dan mengarahkan semua mengangkat tangan ke atas di dalam bahasa Hindi atau Urdu.

Chamberlain berkata, dia berjaya melarikan diri semasa pengunjung restoran yang lain dipaksa ke tingkat atas.

Motif serangan tersebut belum dapat dikenal pasti, namun Mumbai sebelum ini juga pernah menjadi sasaran serangan pengganas dan mendakwa ia dilakukan oleh militan-militan Islam, termasuklah siri pengeboman pada Julai 2006 yang membunuh 187 orang.

BERITA TERDAHULU

MUMBAI: Sekurang-kurangnya 86 orang terbunuh di dalam serangan oleh kumpulan bersenjata di pusat perdagangan India, di sini, malam tadi manakala pasukan keselamatan telah bertindak untuk mengepung dua buah hotel mewah dimana tebusan asing ditahan oleh penyerang.

Menurut laporan Reuters, kumpulan bersenjata itu melakukan serangan menggunakan bom tangan dan senjata automotik ke atas dua buah hotel dan beberapa lokasi lain di bandar tersebut termasuklah di Kashmir.

Polis telah menembak mati empat lelaki bersenjata dan setakat ini telah menahan sembilan suspek manakala 12 anggota polis turut terbunuh termasuklah Ketua Polis Skuad Anti-Keganasan Mumbai, Hemant Karkare.

"Keadaaan di sini masih tegang dan kami masih lagi sedang mengesan pengganas-pengganas lain yang sedang bersembunyi di dalam dua buah hotel tersebut," kata Ketua Menteri Maharashta, Vilasrao Deshmukh.

Deshmukh di dalam sebuah sidang media berkata, keadaan di situ masih lagi belum dapat dikawal.

"Sukar untuk berkata berapa ramai pengganas berada di dua hotel itu," tambahnya, walaupun Menteri Dalam Negeri, Shivraj Patil berkata kira-kira empat hingga lima orang pengganas berada di setiap hotel terbabit.

Kementerian Luar negara Jepun berkata, sekurang-kurangnya seorang warga Jepun turut terbunuh dan seorang tercedera di dalam serangan itu manakala Korea Selatan pula melaporkan 26 mangsa serangan berjaya menyelamatkan diri tanpa sebarang kecederaan.

Menurut saksi, tembakan pistol dan letupan telah didengar di Hotel Taj Mahal dan turut diselubungi asap tebal.

Letupan juga turut berlaku di Hotel Oberoi dan tembakan di sebuah hospital.

"Pengganas melempar bom tangan ke arah kami dari atas bumbung Hotel Taj dan cuba menghalang kami untuk masuk," kata Inspektor Ashok Patil.

Menurut polis, sekurang-kurangnya 250 orang tercedera di dalam serangan itu yang mana turut mensasarkan stesen keretapi dan Cafe Leopold, sebuah restoran terkenal dan menjadi tumpuan pelancong.

Sebuah stesen televisyen turut melaporkan bahawa sebuah organisasi yang menggelarkan diri mereka Deccan Mujahideen dikatakan menjadi dalang serangan tersebut.

"Merka ada bom. Saya rasa mereka sasarkan kepada orang asing kerana mereka meminta pasport rakyat British dan Amerika," kata Rakesh Patel, saksi warga Britain yang tinggal di Hong Kong dan menetap di Hotel Taj Mahal atas urusan perniagaan.

"Mereka ada bom. Anak muda, mungkin dalam usia 20 hingga 25 tahun dan mempunyai dua pucuk pistol. Mereka muncul dari restoran dan bawa kami ke tingkat atas," katanya yang dipenuhi kesan kotoran asap di muka ketika ditembual NDTV News.

India sebelum ini pernah dilanda beberapa serangan bom. Kebanyakannya menyalahkan militan-militan Islam, walaupun polis juga turut menahan pelampau Hindu yang dikatakan menjadi dalang di dalam beberapa serangan tersebut.

Artikel Berikut

Artikel Lain