suria

Keputusan rayuan bekas penerbit TV Haslinda Merican ditangguhkan

KUALA LUMPUR: Keputusan rayuan bekas penerbit rancangan televisyen Haslinda Merican M.A. Merican dan Mohd Amin Jamadi terhadap sabitan menjadi perantara pelacuran melibatkan empat artis wanita lapan tahun lalu yang dijadualkan hari ini terpaksa ditangguhkan berikutan kelewatan pihak pendakwaan mengemukakan hujahan bertulis dan ketidakhadiran peguambela.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah, yang jelas kelihatan kurang senang dengan penangguhan kes itu, bagaimanapun tidak mempunyai pilihan lain dan menetapkan 27 Nov ini untuk menyampaikan keputusannya.

Beliau juga memberi amaran supaya alasan itu tidak dijadikan taktik kedua-dua pihak untuk mendapatkan penangguhan kes tersebut. Pada 24 Okt lepas, mahkamah menetapkan hari ini bagi memberikan keputusan rayuan Haslinda dan Mohd Amin yang didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen terhadap tuduhan menjadi perantara pelacuran. Bagaimanapun ketika prosiding baru bermula, peguam Kartar Singh, yang hadir bagi pihak peguam bela Gurbachan Singh, memohon kes itu ditangguhkan atas alasan pihak peguam bela baru menerima salinan hujahan bertulis daripada pihak pendakwaan pagi ini.

"Mahkamah telah dapat awal hujahan ini, kenapa kamu tak hantar pada peguam sekali pada masa yang sama kamu hantar (hujahan bertulis) ke mahkamah?" soal Hakim Mohamad Zabidin.

"Saya minta maaf Yang Arif, ini kesilapan saya sendiri, saya terlepas pandang kes ini," kata Timbalan Pendakwa Raya Fariza Hamzah.

Ketika ditanya sama ada Kartar bersedia untuk membuat hujahan balas pada hari ini juga, Kartar memberitahu beliau tidak boleh melakukannya kerana tidak mengendalikan dan tidak mengetahui fakta kes itu.

Kartar berkata beliau hanya menyebut bagi pihak Gurbachan, yang terpaksa menghadiri kes di Mahkamah Shah Alam.

"Beliau sepatutnya hadir pada hari ini. Ini satu lagi masalah. Saya tidak ingat memberikan pengecualian kepadanya. Jika anda menyebut bagi pihaknya, anda sepatutnya bersedia untuk memberikan hujahan balas kerana saya enggan memberikan penangguhan. "Jika saya buat keputusan hari ini tanpa memberi peluang kepada anda (pembelaan) untuk menjawab, saya pasti anda akan gunakan alasan ini jika anda kemukakan rayuan. Saya dapat jangkakan semua ini. Saya harap ini bukan taktik untuk melambat-lambatkannya," kata Hakim Mohd Zabidin.

Haslinda, 43, dan Mohd Amin, 39, dihukum penjara 10 bulan dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada 4 Okt 2000 selepas kedua-duanya didapati bersalah menjadi perantara pelacuran bagi empat artis wanita.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu antara pukul 8 malam dan 10.30 malam pada 27 Jun 1995 di lobi Hotel Ming Court (kini Hotel Corus), Jalan Ampang di sini. Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 16(1)(k) Akta Perlindungan Wanita dan Gadis 1973 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan hukuman penjara itu ditangguhkan sehingga rayuan mereka di Mahkamah Tinggi selesai.BERNAMA

Artikel Lain