suria

Polis buru ketua sindiket pecah rumah punyai 20 rekod jenayah

KOTA BAHARU: Polis mencari seorang lelaki yang dipercayai ketua satu kumpulan pecah rumah yang bergerak aktif di beberapa daerah di negeri ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan ACP Mazlan Lazim berkata lelaki itu dikenali sebagai Bakri Jalil, 34, dari Kampung Banggol Temiang, Paloh Rawa Machang dan mempunyai 20 rekod jenayah samun dan pecah rumah.

Sambil menyifatkan lelaki yang sangat dikehendaki itu sebagai 'sangat berbahaya' kerana menggunakan senjata api dan senjata tajam ketika melakukan pecah rumah, Mazlan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai lelaki itu supaya segera menghubungi polis.

Beliau berkata Bakri dan anggota kumpulannya dipercayai giat melakukan kegiatan pecah rumah di Kuala Krai, Machang, Jeli dan Tanah Merah.

Kejadian terbaru dilapor berlaku di Kampung Keroh, Kuala Krai semalam apabila empat lelaki bertopeng yang disyaki diketuai Bakri cuba merompak satu keluarga pada pukul 2.10 pagi.

"Kumpulan itu melepaskan satu das tembakan menggunakan senapang patah tetapi tidak mengenai sesiapa sebelum melarikan diri dengan sebuah kereta jenis Proton Satria GTI yang dilapor di curi di Cukai, Terengganu sebelum itu," katanya.

Beliau berkata polis menemui kereta terbabit dan hasil pemeriksaan terhadap kereta itu, polis menemui pelbagai peralatan pecah rumah seperti tukul, pemotong besi, nombor pendaftaran palsu dan beberapa bilah parang.

Selain itu polis juga sedan mengesan lima lelaki, dipercayai anggota satu kumpulan curi motosikal yang disyaki mencuri kira-kira 100 motosikal dan diseludup ke selatan Thailand.

Mereka yang dicari itu ketua kumpulan itu yang hanya dikenali sebagai Nik Man berusia dalam lingkungan 30an; Nik Muhammad Saiful Fizri Nik Rusli, 20; Muhd Nurhakimi Ibrahim, 21; Tengku Bulyamin Engku Mohamad, 23; dan Nur Ameleen Mazlan, 19, yang kesemuanya berasal dari Wakaf Baharu, Tumpat.

Sementara itu, polis menahan tujuh orang termasuk seorang pendatang tanpa izin dalam Ops Lejang Khas Sawit di sebuah ladang di Tanah Merah semalam kerana memiliki kenderaan curi, serta merampas lapan motosikal dan sebuah kereta. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain