suria

Kes bunuh ibu abang Jennifer Hudson Kakak rayu anak dipulangkan

[DIKEMAS KINI] CHICAGO: Julia Hudson, kakak kepada penyanyi dan pelakon Jennifer Hudson, merayu agar anak lelakinya, Julian dikembalikan yang dipercayai dilarikan penjenayah setelah ibu dan abang selebriti popular itu ditemui mati ditembak di rumah mereka di sini, Jumaat lalu.

Dalam esak tangis, Julia yang berdepan dengan pihak media semalam di Gereja Baptis, di sini, merayu kepada individu terbabit agar melepaskan anaknya yang berusia tujuh tahun itu.

"Tolong pulangkan anak saya. Hanya itu yang saya minta. Saya tahu, dia berada di luar sana. Apa yang saya harap, tolong lepaskan dia," rayu Julia, seperti yang dilaporkan AFP.

Kanak-kanak malang itu yang turut dipanggil "Juicebox" atau "Dr.King" hilang sejak Jumaat lalu setelah mayat neneknya Darnell Donerson, 57, dan bapa saudaranya, Jason Hudson, 29, ditemui dalam keadaan mengerikan di rumah mereka yang terletak di kawasan perumahan Englewood.

Polis percaya Julian mungkin diculik oleh penjenayah terbabit dan pada masa yang sama turut menjejak sebuah trak jenis Suburban Chevrolet milik Jason yang turut hilang.

Pihak berkuasa meminta orang ramai untuk turut mengawasi suspek, William Balfour yang merupakan bekas suami Julia dan bapa tiri kepada Julian.

Balfour sebelum ini pernah dipenjarakan hampir tujuh tahun disebabkan beberapa kes percubaan membunuh dan memiliki kenderaan yang dicuri. Dia dilepaskan dengan parol pada May 2006.

Polis menyifatkan suspek adalah seorang yang amat berbahaya dan mungkin memiliki senjata.

Namun, menurut laporan Chicago Tribune dan Chicago Sun-Times, polis telah pun menahan Balfour Jumaat lalu, tetapi polis Chicago menolak untuk mengesahkan tentang laporan tersebut.

Menurut seorang jurucakap, pihak penyiasat sebenarnya masih menyoalsiasat beberapa individu tertentu.

Kelmarin, Pegawai Polis Chicago, Jody Weis berkata, pihaknya telah meminta bantuan agensi penyiasatan Federal Bureau of Investigation (FBI) untuk mencari kanak-kanak tersebut.

Ibu Balfour, Michele Davis, bagaimanapun memberitahu pihak media bahawa anaknya tidak terlibat di dalam kes pembunuhan ibu dan abang Jennifer, serta kehilangan anak buahnya itu.

"Anak saya tidak ada kena-mengena dalam kes ini - saya amat sedih kerana pihak polis tidak membenarkan saya berjumpa dengannya (Balfour)," kata Michele, seperti yang dilaporkan Chicago Sun-Times.

"Sesiapa saja yang mengambil anak Julia, saya dan keluarga merayu supaya pulangkan kanak-kanak itu," tambahnya lagi.

Ditemani oleh bapa Julian, Greg King, 29, di Gereja Baptis itu,Julia terus merayu agar anaknya itu dapat pulang ke pangkuannya.

"Perkara ini tidak sepatutnya berlaku terhadap dirinya," katanya. Sambil bercakap kepada anaknya menerusi kamera, Julia menambah:

"Saya sayangkan kamu dan akan mencari kamu. Saya tidak akan berhenti selagi tidak menjumpai kamu."

Julia yang merupakan pemandu bas sekolah berkata, adiknya Jennifer telah pulang dari Florida sebaik mendengar tentang tragedi itu. Menurut laporan Sun-Times, Jennifer terus ke hospital untuk mengenalpasti mayat ibu dan abangnya itu.

Semalam, pegawai publisiti peribadi Jennifer, Lisa Kasteler berkata, ketika ini selebriti itu tidak mahu mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung kes tersebut memandangkan ia masih dalam siasatan polis.

"Tidak ada kenyataan selanjutnya yang akan dibuat. Keluarga mangsa hanya meminta agar semua menghormati hak privasi mereka ketika ini," kata Lisa, seperti yang dilaporkan oleh AP.

Jennifer, 27, mula mengukir nama di persada seni setelah menyertai program American Idol beberapa tahun yang lalu.

Kariernya terus memuncak setelah Jennifermembintangi filem Dreamgirls bersama Beyonce dan Jamie Foxx, sekali gus berjaya dinobatkan sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Oscar 2007.

Jennifer juga ketika ini turut popular menerusi lagunya, Spotlight, yang menduduki tangga teratas dalam carta Billboard R&B.

BERITA TERDAHULU

CHICAGO: Ibu dan abang kepada penyanyi dan pelakon yang pernah memenangi Oscar, Jennifer Hudson, ditemui mati ditembak di rumah mereka di sini, semalam.

Anak buah berusia tujuh tahun penyanyi berkenaan dilaporkan hilang ekoran kejadian itu, dipercayai dilarikan penjenayah memasuki rumah mereka.

Mayat Darnell Donnerson, 57, dan Jason Hudson, 29, ditemui sekitar pukul 3 petang (3 pagi waktu Malaysia), di rumah mereka yang terletak di kawasan perumahan Englewood.

Menurut laporan berita dari Fox News, jiran mereka ada mendengar bunyi letupan pistol dari rumah tersebut kira-kira pukul 8 pagi semalam, tetapi tidak menyangka kejadian buruk itu berlaku sehinggalah kakak Jennifer, Julia pulang ke rumah dan mendapati mayat Darnell dan Jason dalam keadaan yang mengerikan.

Berhubung kes tersebut, pihak berkuasa juga sedang menjejaki Julian King, 7, yang dikatakan adalah cucu kepada Darnell.

Julian dipercayai diculik oleh suspek kejadian, William Balfour, selepas pembunuhan tersebut.

Laporan Chicago Tribune dan Chicago Sun-Times menyebut polis telah menahan Balfour.

Namun, menurut laporan Fox News, Balfour enggan memberikan kerjasama dengan pasukan penyiasat dan tidak memberitahu di mana kanak-kanak tersebut berada.

Difahamkan Balfour, 27, berkemungkinan memandu trak jenis Chevrolet Suburban milik Jason, mangsa kejadian tersebut.

Balfour sebelum ini pernah dipenjarakan hampir tujuh tahun disebabkan beberapa kes percubaan membunuh dan memiliki kenderaan yang dicuri.

Polis menyifatkan suspek adalah seorang yang amat berbahaya dan mungkin memiliki senjata.

Jiran-jiran dan laporan berita bagaimanapun mengenalpasti Balfour sebagai suami Julia yang tidak sehaluan dan bapa tiri kepada Julian.

Ibu Balfour, Michelle, berkata, anak lelakinya itu telah berkahwin dengan Julia selama beberapa tahun tetapi kini telah berpisah.

Malah, tambahnya, Darnell sendiri telah mengarahkan Balfour keluar dari rumah tersebut pada musim sejuk yang lalu.

Di dalam laman web MySpace, Balfour juga ada mengaitkan dirinya dengan Jennifer.

"Jennifer adalah adik kepada isteri saya. Saya bangga dengannya dan doakan yang terbaik untuknya. Tetapi jangan bertanya lebih tentang dirinya pada saya, selain apa yang sudah dinyatakan," kata Balfour, seperti yang ditulis di dalam laman web itu.

Bagaimanapun, menurut pegawai publisiti peribadi Jennifer, Lisa Kasteler, ketika ini selebriti itu tidak mahu mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung tragedi itu memandangkan kes tersebut masih dalam siasatan polis.

"Tidak ada kenyataan selanjutnya yang akan dibuat. Keluarga mangsa hanya meminta agar semua menghormati hak privasi mereka ketika ini," kata Lisa, seperti yang dilaporkan oleh AP.

Jennifer, 27, mula mengukir nama di persada seni setelah menyertai program American Idol beberapa tahun yang lalu.

Kariernya terus memuncak setelah Jennifer membintangi filem Dreamgirls bersama Beyonce dan Jamie Foxx, sekali gus berjaya dinobatkan sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Oscar 2007.

Jennifer juga ketika ini turut popular menerusi lagunya, Spotlight, yang menduduki tangga teratas dalam carta Billboard R&B.

Artikel Lain