suria

10 penyokong Hindraf dibebaskan dengan jaminan polis

PUTRAJAYA: Sepuluh penyokong Hindu Rights Action Force (Hindraf) yang ditahan reman kerana berhimpun di hadapan pejabat Perdana Menteri Khamis lepas, dibebaskan hari ini dengan jaminan polis.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Wira Mohammad Sabtu Osman yang mengesahkan pembebasan lapan lelaki dan dua wanita itu berkata, mereka perlu melaporkan diri semula pada 25 Nov depan.

Gobind Singh Deo, peguam yang mewakili kumpulan itu kelihatan tiba di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya kira-kira pukul 11 pagi, diiringi enam peguam lain.

Yang turut mengiringi mereka adalah Anggota Parlimen Shah Alam Ir Khalid Abdul Samad, dan Anggota Parlimen Kuala Selangor Dr Dzulkifli Ahmad.

Kesemua mereka dan 10 penyokong Hindraf itu dilihat keluar dari IPD Putrajaya kirakira pukul 1.30 tengah hari.

Kira-kira 50 orang penyokong termasuk keluarga kumpulan tersebut berkumpul di luar IPD sejak pagi lagi.

Pada 23 Okt lepas, sebelas orang penyokong Hindraf yang terdiri daripada lapan lelaki dan tiga perempuan ditahan kira-kira pukul 3.30 petang selepas mereka dikatakan cuba menyerahkan memorandum ke pejabat Perdana Menteri bagi mendesak agar lima anggota Hindraf yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), dibebaskan sebelum perayaan Deepavali esok.

Kumpulan itu turut menggunakan seorang kanakkanak perempuan berumur enam tahun untuk membawa poster bagi memperjuangkan agenda mereka.

Dua hari lepas, salah seorang penyokong Hindraf, K Shanty dibebaskan juga dengan jaminan polis selepas keterangannya diambil. BERNAMA

Artikel Lain