suria

Ali Rustam harap dapat cukup pencalonan jawatan Timbalan Presiden

MELAKA: Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Ali Rustam berharap Umno bahagian akan memberi cukup pencalonan untuk beliau bertanding jawatan Timbalan Presiden Umno pada pemilihan parti Mac depan.

Setakat semalam, beliau memperoleh 17 pencalonan dan berharap jumlah itu akan terus bertambah sehingga cukup kuota 39 pencalonan yang ditetapkan.

Memberi jumlah pencalonan yang mencukupi kepada calon bertanding adalah penting untuk anggota Umno membuat pilihan berasaskan rekod perkhidmatan calon berkenaan kepada parti dan negara, katanya.

Mohd Ali, yang juga Ketua Menteri Melaka, berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Program Bumi Hijau bagi kawasan Dewan Undangan Negeri kawasan Bukit Baru di Kampung Bukit Baru Dalam di sini, hari ini.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Umno bahagian yang telah mencalonkan beliau untuk jawatan Timbalan Presiden Umno.

"Kita melihat pemilihan kepimpinan pada kali ini adalah penting kerana kita berada di peringkat yang amat mencabar selepas pilihan raya umum lepas, kita perlu bekerja kuat untuk mengembalikan keyakinan rakyat kepada Umno, Barisan Nasional dan kerajaan supaya agenda pembangunan bangsa dan negara tidak terbantut," katanya.

Mengenai Program Bumi Hijau, Mohd Ali meminta Jabatan Pertanian bekerjasama dengan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) supaya semua kampung dan taman perumahan di negeri ini terlibat dengan program itu.

Katanya input pertanian seperti biji benih, anak pokok sayursayuran dan baja akan dibekalkan oleh pejabat pertanian daerah secara percuma pada peringkat permulaan sahaja.

Beliau meminta Jabatan Pertanian membuat pemantauan pelaksanaan program itu supaya peserta yang terlibat memperoleh hasil yang baik. BERNAMA

Artikel Lain