suria

Gandingan Najib dan Muhyiddin dapat kembalikan kekuatan parti

JELI: Gandingan Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai presiden dan timbalan presiden parti diyakini dapat mengembalikan imej Umno yang tercabar sebelum ini.

Ketua Umno Bahagian Jeli Datuk Mustapa Mohamed berkata keduadua pemimpin telah lama berkhidmat dalam parti dan amat berpengalaman dan sewajarnya menerima sokongan daripada peringkat akar umbi.

"Saya harap (Timbalan Perdana Menteri) Najib dan (Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri) Muhyiddin diberi peluang mengetuai Umno masa kini" katanya ketika merasmikan mesyuarat perwakilan Pemuda, Wanita dan Puteri Umno Bahagian Jeli di Kompleks Umno Bukit Nangka, di sini hari ini.

Mustapa yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata kekuatan Umno terletak pada kekuatan dalaman parti yang memerlukan kerjasama dan perpaduan.

"Kerjasama dan perpaduan di dalam parti perlu didukung dengan jujur dan ianya sentiasa dipupuk," katanya.

Mustapa berkata bagi memastikan Umno tiada lagi kemelut dalaman, semua anggota perlu berusaha mencapai matlamat itu dan menyedari lawan sebenar adalah parti pembangkang dan bukannya anggota Umno sendiri.

Beliau turut menegaskan akan pentingnya semangat setiakawan dikembalikan dan membuang sifat berdendam atau berhasad dengki antara satu sama lain.

"Jika perkara ini (dendam dan hasad dengki) berlaku ianya akan membawa kepada perpecahan sampai ke mati.

"Ini bukan matlamat kita. Matlamat kita untuk memastikan Umno menang dan dapat merampas kembali kerajaan yang diperintah pembangkang pada pilihan raya umum akan datang," katanya. BERNAMA

Artikel Lain