suria

Pemuda dipenjara lima tahun kerana milki heroin

KUALA LUMPUR:Seorang pemuda dihukum penjara lima tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini setelah didapati bersalah memiliki heroin seberat 30.1 gram, hampir lima tahun lalu.

Ketika melakukan kesalahan itu, S.Peter berumur 16 tahun.

Hakim Suraya Othman memerintahkan Peter, 21, menjalani hukuman bermula dari tarikh dia ditangkap iaitu 12 Nov, 2003 dan hukuman sebatan yang ringan yang akan dilaksanakan dalam kamar hakim.

Beliau turut membenarkan anggota keluarga pemuda berkenaan hadir semasa proses hukuman sebatan itu dijalankan.

Ketika menjatuhkan hukuman itu, Suraya berkata walaupun tertuduh masih di bawah umur ketika ditangkap iaitu berumur 16 tahun tetapi mahkamah berhak menjatuhkan hukuman sepertimana hukuman bagi pesalah dewasa yang lain.

"Apa-apa perintah mahkamah akan mengikut hukuman mahkamah tetapi tertuduh masih terikat mengikut Seksyen 91(1)(g) Akta Kanakkanak 2001 yang memberi peluang penama menjalani hukuman yang sewajarnya," katanya.

Peter dituduh melakukan kesalahan tersebut di sebuah rumah No. B9R16 Jalan Shaw, di sini, pada 4 petang, 12 Nov 2003 mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39(2) akta yang sama.

Terdahulu, peguam bela Peter, N. Subramaniyam memohon kepada mahkamah agar menjatuhkan hukuman yang ringan kerana faktor usia tertuduh yang masih muda dan memberi peluang untuk dia memperbaiki diri demi masa depannya.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Lokman Kassim. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain