suria

Karung undi pos di Menggatal tidak libat kertas undi PRU 2008

KUALA LUMPUR: Insiden karung undi pos yang dijumpai di sebatang sungai di Menggatal, Sabah Julai lepas tidak melibatkan kertas undi pos bagi pilihan raya umum Mac tahun ini kerana tiada sebarang kertas undi yang ditemui, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

"Ia disebabkan oleh kegagalan petugas-petugas pilihan raya mengembalikan semua peralatan pilihan raya yang tidak digunakan kepada Pejabat Pilihan Raya Negeri Sabah," katanya menjawab soalan Datuk Ir Edmund Chong Ket Wah (BN-Batu Sapi) pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Katanya berdasarkan kepada semakan yang dibuat, didapati sampul plastik yang dijumpai tersebut adalah sampulsampul plastik yang digunakan semasa pilihan raya umum Negeri Sabah pada tahun 1999.

"Oleh sebab terdapat keraguan ke atas dokumen-dokumen tersebut dan memandangkan tempoh masa yang agak lama, maka pihak polis akan membuat pemeriksaan forensik bagi mengesan usia karung berkenaan," katanya.

Bagaimanapun, Mohamed Nazri berkata sehngga kini pihak polis belum memaklumkan hasil pemeriksaannya kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Menurut beliau, hanya selepas disahkan, sampul-sampul plastik berkenaan boleh dimusnahkan mengikut peruntukan Peraturan 25 E Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981.

"Insiden seperti ini sama sekali tidak akan menjejaskan imej negara, kecuali dipolitikkan kerana ia tiada kaitan dengan pilihan raya tetapi hanya merupakan soal pengurusan peralatan pilihan raya yang boleh ditangani secara pentadbiran tanpa menjejaskan kredibiliti pilihan raya di negara ini," katanya.

Pada 24 Julai lepas, dilaporkan satu karung berwarna perang yang digunakan untuk undi pos telah ditemui di Sungai Tebobon.

Karung berkenaan tertera perkataan "undi pos" dan "Suruhanjaya Pilihan Raya". Ia mengandungi 10 beg plastik biru ketika ditemui oleh seorang petani yang memotong rumput di kawasan berhampiran.

Bagaimanapun, hasil siasatan awal polis mendapati karung berkenaan hanya mengandungi beg-beg plastik kosong. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain