suria

KPLB komited membangunkan masyarakat luar bandar, sedia hala tuju 2020, 77 program utama menanti

Warga KPLB, Mohd Taufek Mohd Noh (tengah) bersama Dhia Qaarina M. Rosli (kiri) dan Siti Farihah Mahadzir ceria bersama buku Dasar Pembangunan Luar Bandar 2030 yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, Jun lalu. Foto Bernama

SELARAS tagline ‘Luar Bandar Sejahtera’, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) komited dengan peranannya untuk membangunkan masyarakat luar bandar.

Justeru, lebih banyak program dan projek yang akan dilaksanakan oleh KPLB pada 2020, berikutan pencapaian cemerlang yang dicatatkan oleh petunjuk prestasi utama (KPI) pada tahun 2019. 

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, KPLB telah menggubal dan melancarkan Dasar Pembangunan Luar Bandar 2030 (DPLB 2030) yang merupakan kerangka hala tuju pembangunan kawasan luar bandar secara menyeluruh selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan 2030 (SDG 2030), Kajian Separuh Penggal, Rancangan Malaysia Ke-11 (KSP, RMKe-11) dan dasar-dasar semasa negara.

“DPLB mempunyai 10 Teras, 33 Pernyataaan Dasar dan 88 Strategi yang akan memberi manfaat kepada seramai 7.8 juta penduduk luar bandar,” katanya.

DPLB 2030 dilancarkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Jun lalu.

Menerusi DPLB, wawasan ‘Luar Bandar Yang Sejahtera, Inklusif, Mampan dan Holistik’ sebagai agenda utama dalam proses pembangunan luar bandar di Malaysia menjelang 2030.

Wawasan luar bandar sejahtera menggambarkan hasrat kerajaan untuk memastikan masyarakat luar bandar mempunyai akses kepada infrastruktur dan kemudahan sosial yang setanding dengan kawasan bandar.

Wawasan berkenaan diperhalusi dalam 10 teras pembangunan luar bandar iaitu:

1. Ekonomi berdaya saing dan mampan.

2. Keusahawanan pemacu pembangunan ekonomi.

3. Modal insan berkualiti.

4. Prasarana lengkap dan canggih.

5. Keunggulan generasi belia luar bandar.

6. Wanita luar bandar yang progresif.

7. Kehidupan luar bandar yang sejahtera.

8. Sistem penyampaian dan tadbir urus yang berkesan.

9. Biodiversiti dan alam sekitar mampan.

10. Perumahan, pembangunan wilayah dan penempatan desa bersepadu.

Rina (kanan) melawat gerai jualan pada Majlis Pelancaran Kapsul Usahawan@KPLB dan Pelancaran Ekosistem Usahawan@KPLB di Perkarangan Istana Kehakiman Presint 3, Putrajaya, 17 Oktober. Foto Bernama

Visi DPLB adalah ‘Luar Bandar Sejahtera’, iaitu melahirkan masyarakat luar bandar yang sejahtera dalam pelbagai aspek kehidupan termasuk sosial, ekonomi, budaya dan  persekitaran.

Selain itu, nikmat pembangunan akan dikongsi bersama tanpa mengira latar belakang bangsa, agama, status sosial, gender dan umur.

Pelaksanaan pembangunan berteraskan halatuju DPLB ini akhirnya akan mencapai misi umum iaitu ‘Meneraju Pembangunan Luar Bandar’.

Sementara itu, bagi perancangan hala tuju 2020, KPLB menetapkan 77 KPI yang terdiri daripada program sedia ada dan program baharu.

Rina bersama para peserta pada Perasmian Seminar Kepimpinan Wanita Luar Bandar Zon Selatan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, pada 26 Oktober lalu. Hadir sama, Exco Wanita, Kebajikan dan Pembangunan Luar Negeri Melaka Datuk Ginie Lim Siew Lin. Foto Bernama

Antara program sedia ada, ia melibatkan Program Desa Lestari, Desamall@KPLB, Sokongan Pengukuhan Keusahawanan Luar Bandar (SPKLB), Ekspo TVET@KPLB, Anugerah TVET@KPLB, Sahabat@KPLB, seminar kepimpinan wanita dan keanggotaan wanita Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Persekutuan (MPKKP).

Selain itu, program sedia ada terdiri daripada pemerkasaan wanita, Anugerah Ilham Desa, Anugerah Anak Syarikat, sesi libat urus KPLB dengan pihak berkepentingan, pembangunan kampung termiskin, pemerkasaan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Desa Harapan dan penyaluran geran MPKK/MPKKP.

Rina (kiri) memetik terung yang menggunakan baja organik pada Majlis Projek Rintis Pengurusan Sisa Pepejal dan Perasmian Taman Sejahtera Rakyat di Sungai Toh Pawang Fasa Dua, Bedong  di Sungai Petani, Kedah, 10 November lalu. Foto Bernama

Perancangan program utama KPLB pada 2020 turut menyaksikan program baharu seperti agensi pemasaran produk usahawan, Rural Business Outlet, Rural Enterpreneur Millionaire@KPLB dan Rural Premium Gateway.

Program baharu berkenaan turut meliputi sesi bersama usahawan berjaya, e-Karnival Usahawan Desa (e-KUD)@KPLB, gerakan progresif wanita dan kursus pengurusan bencana.

Ini termasuk kapsul pelancongan luar bandar, outreach usahawan, pelan strategik KPLB dan kursus pengurusan sisa pepejal.

“Banyak lagi projek dan program yang akan kita laksanakan pada tahun 2020 yang dapat memberi manfaat kepada penduduk luar bandar, selaras dengan tagline KPLB iaitu ‘Luar Bandar Sejahtera’,” kata Rina.

Artikel Lain