suria

Jenazah bayi pramatang hilang di bilik mayat hospital, ahli perniagaan buat laporan polis

Kehilangan bayi di hospital merupakan satu kesalahan yang serius. -Gambar hiasan

SEORANG ahli perniagaan membuat laporan polis terhadap sebuah hospital selepas mayat bayi lelakinya dilaporkan hilang.

Bapa kepada bayi itu, Fang Peng Cherng membuat laporan terhadap Hospital Maharaj Nakorn Chiang Mai, Thailand pada Khamis.

Menurut peguamnya, Atipong Phonlachai, anak lelaki Fang dilahirkan pramatang di sebuah hospital swasta pada November tahun lalu.

Namun, hospital swasta itu tidak dapat meneruskan pembedahan dan bayinya dipindahkan ke Hospital Maharaj Nakorn Chiang Mai pada 8 November.

Lebih malang, bayi itu meninggal dunia beberapa jam selepas tiba di hospital kedua.

Atipong berkata, Fang kemudian meminta bedah siasat bagi mengetahui punca kematian. 

Bagaimanapun, hasil bedah siasat itu dilaporkan bercanggah dengan masalah kesihatan yang dinyatakan dalam diagnosis awal.

ARTIKEL BERKAITAN: Bayi 5 bulan meninggal dunia selepas pembedahan jantung... Keluarga saman, tuntut janji kadar kejayaan 99.5 peratus

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu terkedu pemandi jenazah celupar... Dakwa anak meninggal usia muda sebab nama tiada maksud, tak bunyi Arab

Fang kemudian merancang untuk melakukan bedah siasat lanjut di Hospital Siriraj di Bangkok. 

Ketika menguruskan dokumen bagi permohonan itu, dia meninggalkan mayat anaknya di Hospital Maharaj Nakorn Chiang Mai.

Selepas Hospital Siriraj menerima permohonan tersebut, bedah siasat dijadualkan pada 11 Mac. 

Namun Fang berkata, ketika dia datang untuk mengambil mayat anaknya, pihak Hospital Maharaj Nakorn Chiang Mai tidak dapat menemuinya.

Hospital Maharaj Nakorn Chiang Mai kemudiannya mengeluarkan kenyataan rasmi mengakui kakitangan mereka tidak dapat mengesan mayat bayi berkenaan.

Menurut hospital itu lagi, mayat bayi berkenaan disimpan di bilik mayat selepas bedah siasat sementara menunggu pemeriksaan lanjut. 

Namun apabila Fang menghubungi hospital untuk mengambil mayat tersebut pada 11 Mac, ia didapati tiada di bilik mayat.

Pihak hospital percaya mungkin berlaku kesilapan dalam pengendalian mayat dan siasatan dalaman terperinci sedang dijalankan.

Artikel Lain