suria

Sebar maklumat palsu isu keselamatan Korea Selatan... Youtuber bakal didakwa, keuntungan video dirampas

Tangkap layar video berkaitan kenyataan yang dibuat YouYuber berkenaan.

TINDAKAN seorang Youtuber menyebarkan maklumat palsu mengenai isu keselamatan di Korea Selatan mengundang padah apabila dia disiasat pihak berkuasa.

Agensi Polis Kebangsaan memaklumkan, individu terbabit didakwa menyebarkan maklumat mengelirukan menerusi sebuah video yang dimuat naik di saluran YouTube miliknya Oktober tahun lalu.

Malah kes tersebut sudah pun dirujuk kepada pihak pendakwa raya.

Youtuber yang berpangkalan di Jepun dan mempunyai hampir sejuta pengikut itu mendakwa sebanyak 37 mayat tanpa identiti dengan bahagian atas badan mangsa dipotong ditemukan di Korea Selatan.

Malah dia mendakwa seramai 80,000 individu dilaporkan hilang yang mana 150 kes daripadanya dikendalikan secara rahsia oleh polis negara tersebut.

Polis berkata dakwaan tersebut dibuat berdasarkan komen dalam talian kononnya ditulis oleh seorang individu yang mengaku sebagai pendakwa raya, namun identiti sebenar individu berkenaan tidak pernah disahkan.

Menurut polis, suspek juga didakwa memutarbelitkan data rasmi, termasuk merujuk kepada insiden lama yang berlaku kira-kira 12 tahun lalu.

Statistik rasmi menunjukkan sebanyak 71,854 laporan orang hilang direkodkan pada tahun 2024, namun 71,703 daripadanya berjaya diselesaikan pada tahun sama dengan kebanyakan individu ditemui dalam tempoh singkat.

Polis percaya video tersebut berpotensi mencetuskan sentimen anti-Korea di internet dan telah memohon supaya keuntungan yang diperoleh suspek daripada video berkenaan dirampas.

Kes tersebut dihantar kepada pihak pendakwa raya tanpa penahanan atas dakwaan melanggar Akta Rangka Kerja Telekomunikasi.

Sementara itu, YouTuber terbabit menafikan tuduhan bahawa dia sengaja menyebarkan maklumat palsu melalui videonya. -Agensi

Artikel Lain