SEORANG lelaki mualaf yang baru memeluk Islam setahun lalu ditemukan tidak sedarkan diri dipercayai akibat kebocoran gas penyaman udara di kediamannya pada Selasa.Menerusi perkongsian di TikTok [Tonton Video], mangsa, Nader, 31, yang juga warga Thailand ditemukan dalam keadaan kritikal selepas insiden berkenaan. Menurut adik mangsa, Gisele, dia tiba di kediaman Nader kira-kira pukul 6 petang untuk menziarahi abangnya dan meminta bantuan mengangkat barang. Namun, usahanya menghubungi Nader melalui panggilan telefon gagal apabila tiada sebarang jawapan.“Kami dan jiran cuba mengetuk pintu serta memanggil namanya, tetapi tiada respons,” katanya yang bagaimanapun tidak mendedahkan lokasi kejadian.Bimbang dengan keadaan itu, Gisele segera mendapatkan kebenaran pihak sekuriti untuk masuk ke rumah sebelum menemui abangnya dalam keadaan tidak sedarkan diri.Nader ditemukan terbaring di atas sejadah sambil memegang al-Quran, dipercayai tertidur selepas menunaikan solat tahajud sekitar pukul 4 pagi.Hampir 60 peratus ruang bilik berkenaan didapati mempunyai kesan hangus, menyebabkan individu yang berada di dalam rumah mengalami kesukaran bernafas.Nader kemudian dikejarkan ke hospital menaiki ambulans dan kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU).Difahamkan, dia terpaksa ditidurkan selepas mengalami kegagalan fungsi paru-paru akibat terhidu asap dalam kuantiti banyak.“Kami sekeluarga sangat sedih dan tidak henti menangis sejak kejadian ini. Mohon orang ramai doakan agar abang saya segera sembuh,” ujar Gisele.Pihak keluarga kini berharap agar Nader diberikan kesembuhan dan mampu melalui fasa kritikal ini dengan baik.