SEORANG pelajar perempuan bertindak menikam kekasihnya selepas lelaki terbabit mengaku menjalinkan hubungan sulit dengan wanita lain.Kejadian yang berlaku di Surabaya, Indonesia itu kemudiannya mendapat perhatian netizen selepas video insiden tular di media sosial. Menerusi rakaman tular, kelihatan penduduk kampung berkumpul berhampiran sebuah kereta polis sambil menunggu individu terlibat dibawa keluar.Ketua Polis Gayungan, Pesuruhjaya Eko Damara Yudha berkata, kejadian berlaku di Jalan Ketintang PTT Gang V sekitar pukul 8.40 malam, Isnin.Menurut beliau, suspek yang masih belajar dan teman lelakinya masing-masing berusia 21 tahun."Sebelum kejadian, suspek pergi membeli barangan keperluan bersama rakannya untuk berpindah ke rumah tumpangan baharu. "Pisau yang digunakan semasa insiden tersebut didakwa dibeli untuk kegunaan rumah berkenaan," katanya pada Rabu.Tambah Eko, suspek kemudiannya pergi ke rumah tumpangan berhampiran lokasi kejadian untuk bertemu mangsa, namun tidak menemukannya di dalam bilik.Apabila mangsa muncul, suspek menyoalnya dan berlaku pertengkaran selepas lelaki itu mengaku telah bersama wanita lain."Pertengkaran tercetus di hadapan rumah tumpangan sebelum suspek yang berang menikam mangsa sekali di lengan kiri, menyebabkan luka sepanjang kira-kira lima sentimeter," jelasnya.Mangsa berjaya diselamatkan oleh penduduk setempat yang turut menahan suspek sebelum diserahkan kepada pihak polis.Menurut Eko, mangsa dilaporkan sedang menerima rawatan di hospital dan berada dalam keadaan sedar."Kes masih dalam siasatan dan kami menunggu kehadiran keluarga mangsa dari Banjarmasin," katanya. -Agensi