MAHKAMAH memerintahkan hukuman penjara 19 tahun terhadap seorang lelaki selepas didapati bersalah membunuh isterinya secara terancang di kediaman mereka pada Jun lalu.
Tertuduh, Wadison Pasaribu didapati mereka cerita insiden rompakan palsu bagi menutup jenayah pembunuhan yang dilakukannya.
Hakim berkata, tindakan tertuduh mencipta senario rompakan kejam di kawasan perumahan padat penduduk bukan sahaja menimbulkan kegusaran, malah mencetuskan ketakutan dalam kalangan masyarakat setempat.
Menurut hakim lagi, tindakannya melibatkan anak dalam cerita rekaan tersebut turut menjadi faktor penentuan tempoh hukuman berkenaan.
“Daripada sudut sosiologi, tertuduh merosakkan struktur mental anak yang seharusnya dilindungi. Dia menjadikan mereka objek manipulasi demi keselamatan dirinya sendiri,” kata hakim pada Rabu.
Kejadian dilaporkan berlaku di Daerah Serang di Indonesia.
Siasatan polis sebelum ini mendapati Wadison membunuh isterinya kerana ingin berkahwin lain dan bimbang kehilangan hak penjagaan anak jika melalui proses perceraian secara sah.
Selepas mencekik isterinya hingga mati, tertuduh berpura-pura menjadi mangsa rompakan dengan memasukkan dirinya ke dalam guni sebelum memukul wajahnya sendiri menggunakan penumbuk padi. -Agensi


