SEORANG wanita terpaksa menyimpan mayat ibunya yang lemas akibat banjir di dalam peti sejuk bagi mengelak hanyut pada Selasa.
Sebelum itu warga emas berkenaan dikatakan terlalu letih menunggu pasukan menyelamat tiba dikediamannya yang dinaiki air sebelum dia rebah dan lemas.
Bagi mengelakkan mayat ibunya dihanyutkan arus, si anak bertindak meletakkan mayat tersebut ke dalam sebuah peti sejuk.
Dia sendiri kemudian terpaksa memanjat dan duduk di atas peti sejuk sementara menunggu pasukan penyelamat.
Kejadian dilaporkan berlaku di Hatyai, wilayah Songkhla di Thailand.
Menurut pasukan sukarelawan Sarasin Team yang memuat naik video menyelamat [Tonton Video], paras air di dalam rumah itu mencecah sehingga 1.8 meter ketika mereka tiba.
Mereka berjaya membantu wanita yang kekal bertahan di atas peti sejuk, namun kesal kerana gagal menyelamatkan warga emas berkenaan.
“Ini sangat menyedihkan. Kami tiba terlalu lewat. Hanya anaknya yang selamat,” kata Sarasin Team dalam kenyataan mereka.-Agensi


