suria

[V] Paras banjir semakin tinggi cecah tingkat 2 bangunan, mangsa berjalan atas kabel dapatkan bantuan

Rakaman video beberapa individu dilihat berpaut di kabel telekomunikasi bagi mendapatkan bantuan.

SEORANG wanita terpaksa merayu bantuan di Facebook selepas terperangkap dalam banjir besar yang melanda daerah Hatyai, Songkhla di Thailand yang menenggelamkan rumah penduduk sehingga ke tingkat dua.

Menerusi video tular akaun Kang Namthip [Tonton Video], kelihatan beberapa penduduk terpaksa berjalan di atas kabel komunikasi bagi mencari makanan dan tempat berlindung selepas kawasan itu diputuskan bekalan elektrik atas faktor keselamatan.

Malah dia turut memaklumkan bekalan makanan dan air minuman semakin berkurangan, selain gagal menghubungi mana-mana pasukan penyelamat.

"Kami berada di Jalan Phonphichai, depan Kuil Phutthikaram. Tolong bantu kami," tulisnya sambil menyertakan nombor telefon dan lokasi bagi memudahkan pihak berkuasa menemuinya.

Beberapa video lain yang dimuat naik menunjukkan keadaan penduduk yang bergelut menyelamatkan diri dalam air deras yang parasnya semakin meningkat. 

Difahamkan, pasukan penyelamat sukarela turut menghadapi kekangan kerana jumlah mangsa yang ramai serta kekurangan tenaga dan peralatan.

Masalah bertambah rumit apabila ketiadaan pusat penyelarasan utama menyebabkan banyak kawasan terpinggir kerana penyelamat bukan penduduk tempatan dan tidak mengetahui laluan di wilayah itu.

Penduduk turut mendakwa pengurusan banjir lemah dan bantuan rasmi lambat tiba.

Namun Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul menegaskan kerajaan bertindak pantas tanpa sebarang kelewatan.

Dia turut memaklumkan pusat operasi khas akan diwujudkan di bangunan kerajaan bagi menyelaraskan semua usaha bantuan, seperti pendekatan yang digunakan ketika pandemik. -Agensi

Artikel Lain