suria

Bapa saudara meninggal tapi cuti tak lulus, tular mesej WhatsApp staf Gen Z 'lawan' bos

Setiap pekerja perlu akur pada arahan dan peraturan syarikat. -Gambar hiasan AI

TANGKAP layar perbualan WhatsApp antara seorang lelaki dan majikannya mencuri perhatian netizen apabila bosnya itu didakwa tidak menghormati isu kecemasan peribadi pekerja.

Kisah itu tular di platform X apabila pekerja berkenaan, dipercayai Gen Z memaklumkan bapa saudaranya meninggal dunia dan dia perlu mengambil cuti satu hari. 

Namun permohonan itu ditolak dengan pengurus mengarahkannya menghadiri mesyuarat penting yang telah ditetapkan bersama klien sebelum bercuti.

Bukan itu sahaja, pengurus terbabit seolah-olah tidak mempunyai empati apabila menyatakan individu yang meninggal dunia bukanlah ibu atau ayah, hanyalah bapa saudara.

Tangkap layar perbualan yang tular di media sosial.

Tangkap layar perbualan yang tular di media sosial.

Terkejut dengan kata-kata tersebut, dia kemudian menjelaskan hubungan rapatnya dengan mendiang dan menyatakan dia tidak mampu fokus ketika berada dalam keadaan sedih.

"Kematian dalam keluarga tetaplah satu kematian. Dia membantu membesarkan saya, ibarat bapa kedua dan awak tak boleh harapkan saya masuk mesyuarat dan pura-pura semuanya normal.

"Selama ni saya kerja sampai lewat malam, hujung minggu dan berkorban dalam kerjaya. Sekarang saya cuma minta sehari untuk bersama keluarga. Jika ia satu masalah mungkin awak kena lihat semula cara layan staf," katanya.

Namun pengurus terus mendesak, memintanya menjaga kata-kata malah menuduh dirinya melampaui batas selain memberi amaran tindakan tatatertib jika ingkar.

Pertikaian itu semakin memuncak apabila pengurus mahu menandakan cutinya sebagai tidak berbayar dan meminta sijil kematian bagi permohonan cuti masa depan. 

Insiden yang dilaporkan berlaku di India itu mengundang kritikan hebat netizen yang menganggapnya majikan itu tidak mempunyai empati dan ketinggalan zaman.

Malah ribuan warganet memuji pekerja muda itu kerana tegas mempertahankan hak dan sempadan emosinya, dengan ramai menegaskan bahawa keluarga seharusnya diutamakan ketika berlaku krisis.

Menurut mereka, kebanyakan klien biasanya memahami situasi kecemasan, dan tekanan tidak munasabah datang daripada pengurus, bukan pelanggan.

Namun begitu, ada juga segelintir yang berpendapat pekerja itu boleh memilih pendekatan lebih diplomatik bagi mengelakkan konflik lebih besar. -Agensi

Artikel Lain