suria

Guru minta bantuan, murid 11 tahun melecur teruk ketika bakar sarang tebuan di sekolah

Keadaan mangsa yang kini dirawat di hosital. -Foto Thaiger

SEORANG kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun mengalami lecur teruk selepas diminta membakar sarang tebuan di sekolah.

Kecederaan yang dialami mangsa membuatkan keluarganya tampil menuntut keadilan dan tanggungjawab daripada pihak sekolah.

Sejak kejadian itu pada 11 November lalu, tiada sebarang inisiatif dilakukan oleh pihak sekolah.

Kejadian dilaporkan berlaku di Ayutthaya, Thailand.

Foto terkini keadaan mangsa yang berbalut kain kasa di seluruh badan turut dimuat naik ke Facebook. 

Menurut bapa mangsa, seorang guru meminta murid menjadi sukarelawan untuk memusnahkan sarang tebuan. 

Anak lelakinya dan seorang rakan sekelas menawarkan diri untuk membantu. 

Namun malangnya, letupan berlaku ketika gurunya menuang turpentin ke atas kain yang membaluti sebatang kayu.

Tindakan itu mengakibatkan guru terbabit dan kedua-dua murid cedera dengan keadaan anaknya paling teruk iaitu kira-kira 50 peratus kulit mengalami lecur.

Tambahnya lagi, keluarga guru dilapor hanya menawarkan pampasan kecil, manakala insurans kemalangan sekadar membayar 4,000 baht (RM510).

Pihak pengurusan sekolah pula didakwa tidak mengambil sebarang tindakan.

Bapa mangsa turut menegaskan, kerja membuang sarang serangga sepatutnya dilakukan pakar, bukan murid sekolah. 

Laporan polis turut dibuat di Balai Polis Bang Pahan. 

Mangsa kini dirawat di Hospital Universiti Thammasat dalam bilik khas pembasmian kuman dan keluarga tidak dibenarkan masuk. -Agensi

Artikel Lain