suria

Tiga tahun sorok mayat ibu, curi identiti tuntut pencen lebih RM200,000… Bekas jururawat lelaki kantoi bersuara garau

Suspek (kiri) menyamar sebagai ibunya demi manfaat wang pencen. -Foto Mirror

 

SEORANG bekas jururawat didakwa menyamar sebagai mendiang ibunya demi menuntut wang persaraan wanita itu.

Bagi memastikan perbuatannya tidak terbongkar, dia menyembunyikan mayat ibunya di rumah sehingga menjadi mumia.

Malah lelaki berusia 56 tahun itu dipercayai mengaut ribuan euro daripada kegiatan penipuan berkenaan.

Kejadian dilaporkan berlaku di Itali.

Menurut laporan Corriere della Sera, mangsa, Graziella Dall’Oglio meninggal dunia kira-kira tiga tahun lalu pada usia 82 tahun. 

Namun anaknya tidak melaporkan kematian tersebut, sebaliknya membalut mayat wanita itu dengan kain dan memasukkannya ke dalam beg tidur yang kemudian disimpan di rumah keluarga mereka.

Perbuatan tersebut bagaimanapun terbongkar selepas suspek didakwa memakai pakaian mendiang yang lengkap dengan gincu, barang kemas ketika menghadiri pejabat kerajaan di Borgo Virgilio untuk memperbaharui kad pengenalan ibunya.

Malah dia dikatakan turut menggayakan potongan rambut menyerupai wanita itu demi mengaburi mata pihak berkuasa.

Menurut Datuk Bandar Borgo Virgilio, Francesco Aporti, percubaan suspek meniru mendiang ibunya menimbulkan syak berikutan lehernya didakwa terlalu tebal dan bersuara garau. 

"Lelaki itu hadir ke pejabat majlis dengan memakai skirt panjang, gincu, varnis kuku, rantai serta anting-anting gaya lama.

"Tapi daripada dekat, lehernya terlalu tebal dan kedutan wajahnya pelik.

"Kulit pada tangannya juga tidak seperti wanita 85 tahun selain suaranya cuba dibuat feminin tetapi kadang-kadang kembali garau," katanya.

Tambah beliau, situasi yang menjengkelkan itu membuatkan kakitangan terbabit segera melaporkan kepada polis dan memaklumkan kepada datuk bandar setempat.

Pihak berkuasa kemudian membandingkan gambar rasmi mendiang Dall’Oglio dengan rupa suspek dan mendapati terdapat perbezaan.

Dia kemudian ditahan dan pasukan polis menemukan mayat mendiang di bilik dobi dalam keadaan sudah mumia.

Dalam pada itu pihak polis memaklumkan mayat yang dibalut dengan cadar dan beg tidur itu telah dihantar ke hospital tempatan untuk bedah siasat.

Suspek kini disiasat atas kesalahan menyembunyikan mayat secara haram dan penipuan tuntutan manfaat.

Dilaporkan suspek memperoleh pendapatan sekitar £47,000 (RM254,473) setahun hasil pencen ibunya selain memiliki tiga buah rumah. -Agensi

Artikel Lain