suria

Berang dihina hidup menumpang... Suami serang isteri, tekup dengan bantal sampai mati

Suspek ditahan pada Jumaat dan mengaku membunuh isterinya.

SEORANG lelaki ditahan polis selepas mengaku membunuh isteri yang didakwa sering menghina dan menghalau dirinya dari rumah.

Lelaki terbabit yang dikenali sebagai Purnomo melarikan diri dengan menaiki bas sehari selepas kejadian pada 9 November lalu, sebelum ditahan polis pada Jumaat.

Kejadian berlaku di rumah mangsa di Kampung Mancilan, Jombang di Indonesia.

Dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Jombang pada Isnin, Purnomo mengakui perbuatannya dan mendakwa dia sering direndah-rendahkan isteri kerana tidak bekerja sepanjang setahun lalu.

"Saya sering diusir, diberitahu yang saya menumpang hidup isteri. Lama-lama saya jadi tidak kuat (tertekan)," katanya sambil menyatakan penyesalan.

Pegawai Polis Daerah Jombang, Dimas Robin Alexander berkata siasatan mendapati tindakan itu berpunca daripada rasa sakit hati suspek terhadap kata-kata mangsa berkaitan keadaan kewangannya.

Mangsa, Tri Retno Jumilah, ditemukan tidak bernyawa empat hari selepas kejadian apabila anaknya berasa curiga kerana gagal dihubungi dan rumah berbau tidak menyenangkan.

Mangsa dipercayai diserang menggunakan linggis (besi pemecah batu) ketika pertengkaran, sebelum suspek menekup wajahnya dengan bantal sehingga wanita itu putus nyawa.

Polis turut merampas beberapa barangan termasuk peralatan yang digunakan suspek, pakaian mangsa, perhiasan serta sebuah motosikal yang digunakan ketika dia melarikan diri.

Purnomo kini berdepan Pasal 338 KUHP dengan hukuman maksimum 15 tahun penjara. -Agensi

Artikel Lain