suria

Pelajar maut terjun platform stesen kereta api, tinggalkan nota terakhir dakwa dibuli guru

Tekanan disebabkan pelbagai faktor menjadi antara punca seseorang nekad menamatkan riwayat sendiri. -Gambar hiasan

SEORANG pelajar berusia 16 tahun meninggal dunia selepas dipercayai terjun dari platorm di sebuah stesen kereta api, dalam kejadian petang Selasa.

Lebih memilukan, remaja tersebut turut meninggalkan nota terakhir yang menyalahkan guru-gurunya atas tekanan yang dialami.

"Maaf ibu, saya telah menghancurkan hati ibu berkali-kali dan saya melakukannya untuk kali terakhir. Beginilah keadaan guru-guru di sekolah, apa yang perlu saya katakan?" demikian isi kandungan nota berkenaan.

Kejadian dilaporkan berlaku di Delhi, India.

Bapa remaja berkenaan memfailkan kes terhadap tiga guru dan pengetua sekolah, menuduh mereka mengganggu mental anaknya sehingga dia mengambil keputusan untuk membunuh diri.

Menurut bapa pelajar tersebut, pada Selasa, anaknya keluar ke sekolah seperti biasa pada pukul 7.15 pagi. 

Namun sekitar pukul 2.45 petang, dia menerima panggilan memaklumkan bahawa anaknya ditemukan dalam keadaan cedera berhampiran Stesen Metro Rajendra Place.

Menurut bapa mangsa, anaknya disahkan meninggal dunia ketika tiba di hospital.

Dia menambah, rakan-rakan anaknya memaklumkan bahawa salah seorang guru telah mengugut remaja itu beberapa hari sebelum kejadian, termasuk ugutan akan dibuang sekolah dan sijil pemindahan akan dikeluarkan.

Dia turut mendakwa seorang lagi guru pernah menolak anaknya, manakala pengetua sekolah disebut sebagai individu yang turut menjadi punca tekanan.

Lelaki itu berkata anaknya juga pernah mengadu kepadanya dan isteri tentang gangguan mental oleh tenaga pengajar sebelum ini, dan mereka telah memfailkan aduan di sekolah, namun tiada tindakan diambil. -Agensi

 

Artikel Lain