SUASANA meriah di sebuah majlis perkahwinan bertukar kecoh apabila seorang penari wanita didakwa menampar seorang tetamu di atas pentas selepas lelaki tersebut cuba berkelakuan tidak senonoh terhadapnya.
Menurut penduduk kampung, pengantin lelaki telah menjemput tiga penghibur untuk memeriahkan majlisnya.
Ketika salah seorang penari membuat persembahan, seorang saudara lelaki kepada pengantin didakwa menghampiri wanita itu sambil membuat isyarat lucah dan cuba menyentuhnya secara tidak wajar.
Berang dengan tindakan tersebut, penari itu menampar lelaki berkenaan dan berlaku adegan balas-membalas.
Insiden berkenaan menyebabkan puluhan tetamu naik ke atas pentas dan cuba mengepung kumpulan penghibur tersebut kerana rasa tidak puas hati.
Bagaimanapun difahamkan insiden tersebut berjaya dileraikan tidak lama kemudian.
Kejadian dilaporkan berlaku di Haryana, India.
Sementara itu, pihak polis mengesahkan bahawa mereka mengetahui mengenai kejadian berkenaan, namun belum menerima sebarang laporan rasmi.
"Kami mengetahui tentang kejadian ini, tetapi tidak menerima sebarang aduan sehingga hari ini. Tindakan akan diambil mengikut undang-undang sekiranya laporan dibuat," kata seorang pegawai kanan polis sambil memaklumkan bahawa siasatan awal sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar dan individu terlibat. -Agensi


