SEORANG wanita yang menyertai cabaran survival selama 35 hari di hutan belantara mendedahkan bahawa manfaat terbesar yang diperolehnya ialah berjaya menurunkan berat badan sebanyak 14 kilogram (kg).
Wanita berusia 25 tahun yang dikenali dengan nama gelaran Zhao Tiezhu menyertai pertandingan tersebut yang bermula di sebuah pulau pada 1 Oktober dan bertahan sehingga 5 November lalu.
Sepanjang cabaran, Zhao terpaksa berdepan cuaca panas sehingga 40 darjah celsius, luka-luka pada tangan akibat kerja lasak, dan gigitan serangga yang memenuhi kakinya serta mengalami selaran matahari yang teruk.
Namun, segala kesakitan itu dianggap berbaloi kerana berat badannya turun daripada 85kg kepada 71kg.
Menurut Zhao, penurunan berat badannya banyak dibantu oleh makanan tinggi protein seperti ketam, landak laut dan abalon yang ditemuinya di kawasan pulau tersebut.
Lebih mencabar, Zhao turut memburu, melapah, memanggang dan memakan 50 ekor tikus sepanjang 35 hari itu.
Malah, dia turut menyimpan daging tikus kering untuk dimakan selepas mengundurkan diri daripada pertandingan.
“Sebenarnya tikus agak sedap,” katanya yang menarik diri selepas pulau itu dilanda taufan pada 4 November.
“Saya dah capai matlamat saya. Sekarang saya cuma nak tidur lena di katil sendiri,” katanya.
Program itu dianjurkan di wilayah Zhejiang di China.
Menurut pengurus pertandingan yang bernama Geng, dua peserta lelaki masih bertahan di pulau itu untuk merebut hadiah utama 50,000 yuan (RM29,100).
Walaupun Zhao menarik diri, dia memperoleh tempat ketiga dan memenangi 7,500 yuan (RM4,365).
Wanita itu berkata keputusan pertandingan itu melangkaui jangkaannya dan dia berharap dapat menyertai lebih banyak cabaran survival selepas ini. -Agensi


