DETIK perkahwinan yang kebiasaannya dipenuhi dengan senyuman dan kegembiraan berubah menjadi momen penuh emosi bagi seorang pengantin perempuan.
Menerusi perkongsian di TikTok [Tonton Video], seorang jurusolek mendedahkan kisah menyedihkan dialami mempelai itu pada majlis perkahwinannya.
Menurutnya, selepas 27 tahun pengantin tersebut baru mengetahui bahawa lelaki yang selama ini dipanggil ayah bukan bapa kandungnya yang sebenar.
"Rupa-rupanya selama 27 tahun, ayah yang menjaganya dengan penuh kasih sayang bukanlah ayah kandungnya. Pada hari bahagianya, pengantin perempuan itu sedar bahawa dia yatim sejak kecil.
"Sebabnya tidak diketahui, tiada siapa yang beritahu. Tetapi yang pasti bapa tiri itu menyayanginya seperti darah daging sendiri," katanya.
Tambah jurusolek itu, dia tidak menjangka pengantin tersebut akan berkongsi kisah penuh emosi berkenaan dengannya.
"Dia hanya mengetahui perkara itu dua hari sebelum perkahwinan ketika menguruskan dokumen pernikahan.
"Saya terkejut selepas diberitahu. Rasa simpati tetapi bersyukur kerana pengantin mempunyai bapa tiri yang baik dan bertanggungjawab," katanya.
Kata jurusolek itu, mata pengantin masih sembap ketika disolek akibat menangis semalaman tetapi dia akhirnya dapat menerima kenyataan.
Jelasnya, pengantin perempuan itu dan pasangannya selamat dinikahkan pada 9 November lalu di Balai Prajurit Sukasari, Bogor di Indonesia.


