suria

Pelajar IPT menangis ditahan sebab mencuri... 'Tergoda' tengok duit, barang kemas nenek bernilai hampir RM15,000

Suspek merupakan seorang pelajar IPT berusia 19 tahun. Foto Kompas

SEORANG pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) ditahan polis selepas disyaki mencuri wang tunai dan barang kemas milik nenek tirinya termasuk kalung emas.

Kesemua barang tersebut dipercayai bernilai 60 juta rupiah (RM14,900).

Kejadian dilaporkan berlaku di Kota Pasuran di Indonesia.

Pemangku Ketua Polis Purworejo, AKP Yudhi Prasetyo, berkata, pemuda berusia 19 tahun itu ditahan selepas pihaknya meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) milik mangsa.

"Mangsa berusia 59 tahun membuat laporan dan menyerahkan rakaman CCTV di rumahnya di Perumahan Sekar Asri, Kota Pasuruan.

"Mangsa menyedari kehilangan itu ketika ingin mengambil wang dari dompet untuk bersedekah di masjid, namun dompet berkenaan tidak ditemui. 

"Pemeriksaan lanjut mendapati barang kemas seperti kalung, gelang dan cincin emas bernilai sekitar 30 juta rupiah (RM7,458) serta wang tunai 30.75 juta rupiah (RM7,645) yang disimpan dalam almari turut hilang," jelasnya pada Selasa.

Tambah Yudhi, hasil siasatan membawa kepada penangkapan suspek di sebuah bengkel motosikal di Sidoarjo. 

Ujarnya, polis turut merampas tiga gelang emas, satu kalung, satu cincin emas seberat kira-kira 26 gram bersama sehelai seluar pendek dan sebuah telefon bimbit.

"Siasatan awal mendapati suspek menggunakan wang hasil penjualan sebahagian barang kemas untuk perbelanjaan harian dan selebihnya untuk judi dalam talian.

"Ketika dibawa ke lokap, suspek dilihat menangis dan mendakwa menyesal kerana 'tergoda' melihat wang dan perhiasan milik neneknya," tambahnya.

Suspek kini disiasat di bawah Pasal 363 ayat (1) 3E dan 5E KUHP atas kesalahan mencuri dengan pemberatan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun. -Agensi

Artikel Lain