suria

Bayi baru lahir, bapa dan doktor rentung… Ambulans dalam perjalanan ke hospital terbakar

Ambulans terbakar semasa proses pemindahan bayi ke hospital lain bagi mendapatkan rawatan lanjut. -Foto NDTV

 

SEORANG bayi berusia satu hari antara empat individu maut selepas ambulans yang dinaiki terbakar ketika dalam perjalanan ke hospital, awal pagi Selasa.

Kejadian dilaporkan berlaku kira-kira pukul 1 pagi di Jalan Modasa-Dhansura di India.

Menurut Inspektor Polis DB Vala, kesemua mangsa dalam perjalanan ke sebuah hospital di Ahmedabad dan Modasa.

Bayi tersebut dilaporkan sakit sejak lahir dan perlu dipindahkan ke hospital yang lebih lengkap untuk rawatan lanjut.

Ujarnya, mangsa yang maut adalah bayi itu sendiri, bapanya Jignesh Mochi, 38; doktor dari Ahmedabad, Shantilal Rentia, 30; serta jururawat, Bhuriben Manat, 23.

Manakala tiga lagi individu iaitu dua saudara Mochi dan pemandu ambulans swasta mengalami kecederaan melecur dan dimasukkan ke hospital berdekatan.

"Jignesh Mochi berasal dari daerah jiran Mahisagar dan anaknya yang baru lahir sedang dirawat di sebuah hospital swasta di Modasa selepas dilahirkan. 

"Ketika dia dibawa ke hospital swasta yang lain, ambulans itu terbakar dalam perjalanan atas sebab yang tidak diketahui," katanya.

Tambah Vala, menerusi  rakaman kamera litar tertutup (CCTV), ambulans itu dilihat perlahan berhampiran pam petrol selepas pemandu menyedari kebakaran di bahagian belakangnya.

"Pemandu dan dua saudara Mochi berada di tempat duduk hadapan manakala bayi, bapanya, bersama doktor dan seorang jururawat berada di bahagian belakang kenderaan.

"Kesemua mangsa ditemukan rentung dalam kebakaran itu," jelasnya.

Dalam pada itu, Penguasa Polis Daerah Manoharsinh Jadeja berkata pakar forensik telah dipanggil untuk menyiasat kejadian itu dan mengetahui punca-punca yang membawa kepada tragedi itu. -Agensi

Artikel Lain