DUA pemancing dipercayai dihanyutkan ombak besar ketika sedang memancing di kawasan berbatu, mengundang rasa panik orang awam yang berada berhampiran.
Kejadian pada pagi Ahad sekitar pukul 8 pagi itu menyaksikan detik-detik cemas sebelum kedua-dua mangsa, Ujang Agus, 40, dan Deni Setiawan, 35, hilang dari pandangan selepas terjatuh ke laut akibat 'dipukul' ombak.
Insiden dilaporkan berlaku di kawasan batu karang pinggir Pantai Cikeueus Loji di daerah Sukabumi, Jawa Barat, Indonesia.
Menurut saksi, Ujang dan Deni ditarik ombak kuat yang memecah karang tempat mereka berdiri ketika umpan salah seorang daripada mereka disambar ikan bersaiz besar.
Namun malang tidak berbau apabila ombak besar tiba-tiba menghentam sehingga kedua-duanya hilang keseimbangan sebelum terjatuh ke laut sewaktu cuba menarik ikan yang mengena.
Detik berkenaan turut dirakam [Tonton Video] individu yang kebetulan merakam aktiviti mereka sebelum tragedi berlaku.
Ketua Jabatan SAR (operasi mencari dan menyelamat) Jakarta, Desiana Kartika Bahari, yang juga Penyelia Misi SAR, mengesahkan bahawa kedua-dua mangsa dipercayai dihentam ombak kuat ketika sedang memancing.
Desiana turut menjelaskan bahawa SAR digerakkan sejurus laporan diterima, namun usaha pada hari pertama masih belum menemukan sebarang petunjuk dan pencarian masih diteruskan. -Agensi


