POLIS menahan seorang lelaki kerana didakwa merakam secara sembunyi seorang kadet polis di dalam tandas sebuah pusat membeli-belah.
Kejadian dilaporkan berlaku di wilayah Udon Thani, Isaan, Thailand pada Sabtu.
Kadet lelaki berusia 26 tahun itu membuat laporan di Balai Polis Mueang Udon Thani selepas menyedari suspek menggunakan telefon bimbit untuk merakamnya ketika menggunakan tandas.
Mangsa berjaya merampas telefon tersebut, yang mengandungi rakaman kejadian, sebelum meminta pihak berkuasa mendokumentasikan kes itu secara rasmi.
Pada mulanya kadet tersebut berkata dia membuat laporan polis sebagai amaran kepada suspek.
Namun selepas polis meneliti kandungan telefon dan menemui rakaman serupa membabitkan mangsa lain, mereka menasihati kadet berkenaan supaya meneruskan tindakan undang-undang.
Suspek yang bekerja sebagai penunggang teksi motosikal memohon maaf kepada mangsa dan mengaku merakam beberapa pengunjung lelaki di tandas awam untuk 'kepuasan peribadi' tetapi mendakwa tidak pernah menyebarkan rakaman tersebut.
Suspek juga memaklumkan kepada polis bahawa dia telah mengambil dua pil methamphetamine, yang menurutnya mempengaruhi tindakannya.
Berikutan itu, polis mendakwa suspek di bawah Seksyen 279 Kanun Jenayah kerana melakukan perbuatan tidak senonoh, yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda sehingga 200,000 baht (sekitar RM25,589), atau kedua-duanya.
Dia turut berdepan pertuduhan tambahan di bawah Seksyen 162 Akta Kawalan Narkotik atas penggunaan narkotik Kategori 1, yang boleh dihukum penjara sehingga satu tahun, denda sehingga 20,000 baht (sekitar RM2,558), atau kedua-duanya. -Agensi


