SEKURANG-KURANGNYA 45 orang maut selepas sebuah bas yang membawa jemaah umrah bertembung dengan lori tangki diesel berhampiran Madinah, demikian menurut laporan media tempatan di Arab Saudi pada Isnin.
Kesemua mangsa dipercayai warga India, dengan laporan awal menyebut bahawa sekurang-kurangnya 16 daripada mereka yang terkorban dalam nahas bas di Arab Saudi itu berasal dari Hyderabad.
Menteri Teknologi Maklumat Telangana, D Sridhar Babu berkata pihak berkuasa sedang mengenal pasti identiti mangsa.
Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Hyderabad, VC Sajjanar berkata, 45 jemaah disahkan meninggal dunia, dan hanya seorang terselamat dan kini berada di hospital.
Difahamkan nahas berlaku sekitar pukul 1.30 pagi (waktu tempatan) di Mufrihat, kira-kira 160 kilometer dari Madinah.
Kumpulan jemaah berkenaan meninggalkan Hyderabad pada 9 November dan dalam perjalanan pulang ke Madinah selepas menunaikan umrah di Makkah ketika tragedi berlaku, kata seorang saudara mangsa. -Agensi


