suria

Pemuda parah tali bungee terputus tiba-tiba ketika lakukan terjunan, tercampak atas bumbung bangunan

Mangsa tercampak di atas bumbung bangunan berhampiran (kiri) selepas tali bungee tiba-tiba terputus. -Foto Indiatoday

SEORANG lelaki berusia 24 tahun cedera parah ketika melakukan aktiviti terjunan bungee, gara-gara tali yang diikat terputus secara tiba-tiba.

Dalam kejadian yang berlaku pada petang Rabu lalu, mangsa, Sonu Kumar yang berasal dari Gurugram, India dilaporkan melakukan terjunan tersebut selepas melalui persiapan biasa di tapak aktiviti yang terletak di Shivpuri.

Menerusi rakaman kamera litar tertutup, Sonu dilihat melompat dari platform dengan tali bungee terpasang dengan betul. 

Tetapi ketika dia berada di pertengahan terjunan, tali bungee secara tiba-tiba terputus, mengakibatkannya terjatuh dan 'menghentam' bumbung sebuah struktur berdekatan dengan impak kuat.

Sonu segera dikejarkan ke sebuah hospital untuk rawatan lanjut. 

Walaupun pihak hospital belum mendedahkan butiran lengkap mengenai kecederaan yang dialami, keadaannya dilaporkan sedang dipantau rapi.

Sementara itu, saksi di lokasi mendakwa bahawa protokol keselamatan ketika itu 'sangat longgar' dan kakitangan tidak mengikuti prosedur operasi standard yang sepatutnya diamalkan dalam aktiviti berisiko tinggi seperti itu.

Susulan klip video mengenai insiden yang menimpa Sonu tersebar di meia sosial, warga maya menuntut pihak yang berwajib melakukan audit menyeluruh terhadap semua kemudahan sukan lasak.

Malah ada yang mendesak agar syarikat pengendali aktiviti itu digantung operasi sehingga siasatan lengkap dijalankan dan pihak bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan. -Agensi

Artikel Lain