SEORANG lelaki ditahan polis selepas disyaki membunuh wanita berusia 32 tahun di sebuah hotel gara-gara gagal melunaskan bayaran bagi perkhidmatan seks.
Mangsa, Siti Solihah, ditemukan dalam keadaan mukanya ditutup dengan bantal oleh rakannya di bilik yang mereka sewa sekitar pukul 1.30 pagi.
Dia kemudiannya dibawa ke hospital namun disahkan meninggal dunia.
Kejadian berlaku di sebuah bilik hotel di Jalan Raya By Pass Juanda, Jawa Barat di Indonesia.
Menurut laporan, insiden berpunca apabila suspek, Febri Latif Bimo Nugroho, 28, pekerja kilang dari Malang itu tidak mempunyai 4.5 juta Rupiah (kira-kira RM1,100) untuk membayar mangsa.
Jumlah itu merupakan bayaran yang dipersetujui selepas mereka berkenalan melalui aplikasi MiChat.
Ketua Polis Sidoarjo, Kombes Christian Tobing, berkata selepas dua kali bersama, suspek panik kerana tidak membawa wang dan kemudian merancang membunuh wanita itu.
"Suspek mencekik mangsa dengan tangan kanan dan pada masa sama menekup wajah mangsa menggunakan bantal. Pergelutan itu berlaku kira-kira 10 minit," katanya.
Suspek yang masih berada berhampiran lokasi berjaya ditahan tanpa melawan.
Polis turut merampas bantal, selimut, kunci bilik dan telefon bimbit suspek sebagai bukti.
Suspek kini disiasat di bawah Pasal 338 KUHP (Pembunuhan) dan Pasal 351 ayat 3 (Penganiayaan Mengakibatkan Kematian) yang membawa hukuman sehingga 15 tahun penjara. -Agensi


