suria

Wanita menyamar sebagai lelaki kacak perdaya rakan sendiri, raih untung lebih RM2,500! 

Suspek ditahan selepas mangsa menyedari penipuan yang dilakukan.

 

SEORANG wanita Thailand ditahan selepas didakwa menyamar sebagai lelaki kacak bagi memperdaya rakan sendiri dan menipu wang berjumlah lebih 20,000 baht (RM2,580).

Menerusi sidang media pada 6 November, mangsa dikenali sebagai Ploy, 34, mendedahkan bahawa dalang di sebalik penipuan itu ialah rakannya sendiri, Mint, 32. 

Menurutnya, perkenalan mereka berlangsung menerusi aplikasi TikTok pada Ogos 2025 dan menjadi rapat selepas beberapa kali keluar makan bersama.

Beberapa minggu kemudian, Mint memperkenalkan Ploy kepada ‘adik lelakinya’ yang kononnya tampan, bernama Mac, 27. 

Ploy mula berhubung dengan ‘Mac’ melalui aplikasi LINE, namun sebenarnya semua mesej dihantar oleh Mint menggunakan akaun sendiri dengan alasan telefon Mac alami kerosakan.

Tanpa menyedari helah itu, Ploy mula jatuh hati dan percaya mereka menjalin hubungan cinta. 

Namun tidak lama kemudian, ‘Mac’ mula meminta wang, kononnya untuk membeli-belah dalam talian, kemudian untuk pelbagai alasan lain.

Ploy menghantar wang berulang kali kerana percaya pada hubungan itu, namun setiap kali diajak bertemu atau membuat panggilan video, ‘Mac’ memberi alasan kononnya kakaknya (Mint) tidak suka hubungan mereka.

Keadaan semakin membimbangkan apabila pada Oktober, Ploy dihubungi seorang lelaki bernama Mike yang mendakwa sebagai abang kepada Mac dan memberitahu kononnya Mac dimasukkan ke hospital selepas dipukul.

Prihatin dengan nasib lelaki itu, dia memindahkan wang lebih 1,800 baht untuk tujuan kos rawatan.

Situasi yang berlaku membuatkan dia mulai curiga selain merasa bimbang kerana semua transaksi kewangan masuk ke akaun rakannya.

Bagi mendapatkan kepastian dia menghubungi hospital dan pihak terbabit mengesahkan tiada pesakit bernama Mac.

Selepas menyedari ditipu, dia membuat laporan polis namun pihak berkuasa enggan merekodkan aduan.

Kecewa dengan tindakan itu, dia membuat aduan kepada Saimai Survive yang kemudian membantu membawa kes itu kepada pegawai tertinggi di Balai Polis Bang Yai.

Ploy turut menghubungi Mint secara peribadi untuk menuntut penjelasan, namun Mint menafikan tuduhan itu dan mendakwa hanya berpura-pura menjadi Mac kerana bimbang Ploy kecewa selepas Mac ‘tidak lagi menyukainya’. -Agensi

Artikel Lain