KEKALAHAN seorang peserta dari China dalam pertandingan World Slapping Championship mencetuskan perbincangan hangat di media sosial selepas dia dilaporkan mengalami patah tulang pipi ketika bertanding.
Menurut laporan Red Star News, peserta berkenaan, Zhao Honggang, cedera selepas menerima tamparan kuat daripada lawannya, Muhammad Amantaev dari Kazakhstan, pada pusingan pertama.
Dalam pusingan awal itu, Zhao mengalami luka di bahagian kening dan bengkak pada mata kanan selepas ditampar.
Bagaimanapun, keadaan menjadi semakin serius apabila pada pusingan ketiga, Zhao rebah dan tidak sedarkan diri.
Pemeriksaan perubatan mendapati dia mengalami patah tulang pipi dan luka yang memerlukan lima jahitan.
Beberapa jam selepas kejadian, Zhao tampil menenangkan para peminatnya menerusi hantaran di media sosial.
"Saya baru sahaja menerima beberapa jahitan di sekitar soket mata. Hasil imbasan menunjukkan tiada gegaran otak. Saya okay sekarang. Terima kasih atas sokongan semua," tulisnya.
Zhao, 35, merupakan peserta pertama dari China yang menyertai pertandingan berkenaan.
Pemuda tersebut aktif dalam dunia seni bela diri dan turut popular di media sosial dengan 1.5 juta pengikut, apabila sering muncul dalam pelbagai program hiburan untuk mempamerkan kemahiran kung fu miliknya.
Walaupun tewas, ramai pengguna media sosial di China tetap memberikan kata-kata semangat dan pujian terhadap semangat juangnya di pentas antarabangsa itu. -Agensi


