SEORANG jurutera dilaporkan membunuh diri dengan mengunci diri di dalam bilik yang dipenuhi asap selepas tertekan kerana mengalami kerugian besar dalam pasaran saham.
Polis turut menemui sekeping nota akhir di dalam bilik berkenaan, dipercayai ditulis oleh mangsa.
Dalam nota tersebut, mangsa menyatakan bahawa dia mengambil langkah drastik disebabkan masalah kewangan dan pertikaian harta.
Menurut Inspektor Kanan Satyendra Bhandari, kejadian berlaku pada Rabu di kawasan Arihant Vihar, Haridwar, India.
Tambahnya, mangsa yang merupakan seorang jurutera kimia, dipercayai menghasilkan asap dengan membakar arang batu pada pemanas di bilik sebelum mengunci dirinya di dalam.
Tindakan itu menyebabkan mangsa maut akibat sesak nafas.
Siasatan juga mendapati bahawa sebelum kejadian, mangsa menghantar mesej kepada isterinya melalui WhatsApp, menyatakan hasrat untuk membunuh diri menggunakan karbon monoksida.
Menurut polis, mangsa dipercayai mengalami tekanan teruk selepas menanggung kerugian besar dalam pasaran saham dan mula minum arak untuk melepaskan tekanan.
Disebabkan tabiat tersebut, isterinya dilaporkan berpindah ke rumah ibu bapanya bersama anak-anak mereka.
Kes masih dalam siasatan lanjut pihak berkuasa. -Agensi


