suria

Buruh disamun 4 lelaki, dibelasah dan ditinggalkan berhampiran landasan kereta api hingga sebelah kaki digilis

Mangsa mendakwa dia disamun dan dibiarkan di landasan kereta api hingga sebelah kaki digilis. -Foto NDTV

SEORANG buruh berdepan detik ngeri apabila disamun empat lelaki dan dibelasah sebelum ditinggalkan di landasan kereta api.

Apa yang mengerikan, mangsa yang dikenali sebagai Lakha berkata, sebaik tersedar daripada pengsan, dia mendapati sebelah kakinya terputus akibat digilis tren.

Kejadian dilaporkan berlaku di Ujjain, Madhya Pradesh pada Rabu lalu. 

"Saya bekerja sebagai buruh berhampiran stesen. Sekitar pukul 8 malam, ketika dalam perjalanan pulang selepas membeli makanan, empat lelaki menahan saya, memukul dan merampas Rs500 (sekitar RM23.60). 

"Apabila saya sedar, satu kaki telah hilang dan kaki sebelah lagi berdarah. Saya menjerit meminta tolong, tetapi tiada siapa datang.

"Polis tiba selepas dua jam dan membawa saya menaiki ambulans. Saya merayu supaya mereka ambil kaki saya sekali, tapi mereka tidak endahkan," cerita Lakha mengimbas kembali kejadian yang menimpanya.

Hanya pada keesokan paginya, Lakha berkata dia berjaya meyakinkan seorang polis yang lain bahawa sebelah kakinya berada berhampiran landasan. 

Bahagian kaki itu kemudian dibawa semula ke hospital, namun lebih 12 jam telah berlalu dan pembedahan untuk menyambungnya semula tidak lagi dapat dilakukan.

Ketika ditanya mengenai kejadian tersebut, seorang pegawai kanan polis menafikan dakwaan bahawa mangsa disamun, namun gagal memberi penjelasan mengapa kaki mangsa dibiarkan berjam-jam sebelum dibawa ke hospital.

Kes masih dalam siasatan lanjut pihak berkuasa.-Agensi

Artikel Lain