suria

Murid tadika maut terkena renjatan elektrik ketika main di taman permainan pada waktu rehat

Tiang lampu lama yang tidak diselenggara dengan baik dipercayai menjadi punca kebocoran arus elektrik. -Foto KhaoSod/Thaiger

TRAGEDI menyayat hati melibatkan budak lelaki berusia lima tahun yang meninggal dunia akibat terkena renjatan elektrik ketika bermain di taman permainan dekat sekolahnya mencetuskan kemarahan serta kebimbangan ramai terhadap keselamatan infrastruktur di sekeliling institusi pendidikan. 

Dalam kejadian pada 4 November lalu, mangsa, Atsawin yang belajar di tadika yang terletak di wilayah Buriram, timur laut Thailand, terkena renjatan elektrik ketika sedang bermain buaian di kawasan luar sekolah pada waktu rehat.

Menurut ibu saudara mangsa, Thansanee, 44, beberapa guru cuba menyelamatkan Atsawin dengan memberi rawatan CPR sebelum membawanya ke Hospital Non Suwan.

Bagaimanapun doktor mengesahkan dia sudah tidak bernyawa ketika tiba di hospital, akibat renjatan elektrik.

Siasatan awal polis mendapati taman permainan tersebut terletak berhampiran tiang lampu jalan lama yang tidak diselenggara dengan baik.

Dua pemutus litar yang terdedah ditemukan di dalam kotak logam berkarat, dipercayai menjadi punca kebocoran arus elektrik.

Penduduk tempatan mendakwa kejadian renjatan elektrik pernah berlaku sebelum ini semasa acara sekolah seperti pertandingan sukan, namun pihak sekolah tidak mengambil tindakan sewajarnya bagi memperbaiki masalah tersebut.

Pihak polis kini sedang menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca sebenar kebocoran elektrik yang meragut nyawa anak kecil itu. -Agensi

Artikel Lain